PUTRAJAYA: Isu ganjaran kemenangan atlet para negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila rangkaian kedai runcit terkenal, 99 Speedmart tampil menyalurkan tajaan khas berjumlah RM107,000 kepada lima pemenang pingat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sumbangan berkenaan adalah inisiatif sukarela daripada pihak 99 Speedmart yang tampil sebagai penyelamat selepas membaca laporan media berhubung isu kelewatan pembayaran ganjaran kepada atlet para negara oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
“99 Speedmart bukan penaja asal dalam perjanjian sebelum ini, namun mereka mengambil inisiatif menghubungi pejabat saya selepas mendapat tahu isu ini melalui laporan media.
“Mereka bertindak sebagai penyelamat untuk memastikan atlet negara menerima ganjaran penuh seperti yang sepatutnya. Pingat emas iaitu RM35,000, perak RM15,000 dan RM7,000 pingat gangsa top up kepada lima atlet negara.
“Dengan adanya tambahan ini, KBS anggap isu selesai dan atlet boleh fokus kepada persiapan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemberian Tajaan Khas kepada pemenang pingat Paralimpik 2024 di sini semalam.
Lima atlet para negara yang menerima sumbangan tersebut adalah dua pemenang pingat emas, Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin, Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli (perak), serta Eddy Bernard (gangsa).
Sebelum ini, berlaku kekeliruan membabitkan tafsiran ganjaran MPM terhadap pemenang pingat emas badminton para, Liek Hou yang dikatakan hanya menerima RM25,000, berbeza daripada jumlah RM60,000 yang diumumkan sebelum ini.
Liek Hou juga dikatakan meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial serta mendakwa berasa tertipu dengan MPM ekoran kelewatan bayaran insentif tunai tersebut.
MPM kemudian mengesahkan kadar ganjaran iaitu RM25,000 bagi pingat emas, RM15,000 perak dan RM8,000 untuk gangsa disalurkan kepada atlet terbabit.-UTUSAN