Tiga persatuan pelancongan menggesa dihentikan kenyataan yang mengkritik Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing serta Tourism Malaysia berhubung isu hidangan alkohol dalam majlis makan malam pada 1 Okt lalu anjuran pemain industri.
Persatuan Pelancongan dan Pelancongan India Malaysia (Mitta), Persatuan Inbound Cina Malaysia (Mica) dan Persatuan Konsultan Malaysia My Second Home (MM2HCA) berkata penjelasan itu dibuat susulan “kenyataan mengelirukan” mengenai majlis makan malam Global Travel Meet.
“Mitta, Mica dan MM2HCA memahami sepenuhnya kontroversi yang timbul daripada jamuan makan malam itu dan dengan ikhlas menyampaikan rasa kesal kepada Motac serta Tourism Malaysia, khususnya kepada Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Kenyataan ini dikeluarkan oleh Mitta, Mica dan MM2HCA bagi menghentikan semua bentuk kenyataan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan yang disebarkan berhubung perkara ini,” kata gabungan itu.

Terdahulu, pengkritik daripada parti pemerinah dan kerajaan menggambarkan hujah menteri bahawa acara tersebut telah diambil alih dan ditanggung kos oleh pemain industri sebagai usaha mengelak daripada bertanggungjawab.
Foto acara itu menunjukkan Tiong dan tetamu lain memegang gelas wain dan bir, yang mencetuskan kecaman meluas termasuk desakan supaya Tiong meletak jawatan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga persatuan itu menegaskan acara berkenaan dianjurkan dan ditanggung sepenuhnya oleh pemain industri pelancongan, bukan oleh Motac atau Tourism Malaysia.
Global Travel Meet, yang pertama kali diadakan di Malaysia, berjaya menarik lebih 600 pelanggan antarabangsa dan 100 wakil media, menghasilkan lebih RM420 juta impak ekonomi.

Persatuan-persatuan itu turut menonjolkan prestasi cemerlang pelancongan Malaysia, dengan mencatatkan lebih 38 juta kedatangan pelancong pada 2024 dan lebih 20 juta pada separuh pertama 2025.
“Kami akan terus bekerjasama dan berkolaborasi dengan Motac dan Tourism Malaysia bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan,” kata persatuan itu lagi.






