Malaysia Oversight

Istiadat angkat sumpah Ramli sebagai Yang Dipertua P Pinang 1 Mei

By MkiniBM in April 25, 2025 – Reading time 1 minute
Istiadat angkat sumpah Ramli sebagai Yang Dipertua P Pinang 1 Mei


Istiadat angkat sumpah jawatan Tun Ramli Ngah Talib sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan akan berlangsung pada 1 Mei di Dewan Sri Pinang di George Town.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pelantikan itu disempurnakan mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Negeri Datuk Zulkifli Long akan menguruskan upacara berkenaan.

“Kita juga akan menganjurkan satu majlis aspirasi yang akan diadakan pada 28 April sebagai penghargaan kepada Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang telah berkhidmat selama satu penggal sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang di George Town hari ini.

Chow juga menyifatkan Ramli sebagai seorang yang sangat berpengalaman dalam arena politik dan pentadbiran negara serta negeri Perak selama berdekad-dekad, dan yakin pelantikan itu akan dapat membantu pembangunan negeri berkenaan.

Semalam Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa pada 1 Mei 2025 bagi tempoh empat tahun hingga 30 April 2029.

Ramli menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara semalam.

Pelantikan Ramli menggantikan Ahmad Fuzi yang menyandang jawatan itu bermula 1 Mei 2021.

Bernama



Source link