Malaysia Oversight

Isteri sertai misi Sumud Flotilla bukan sebab saya tak peduli

By Utusan in September 9, 2025 – Reading time 2 minute
Isteri sertai misi Sumud Flotilla bukan sebab saya tak peduli


KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadzmi Adhwa, 33, tampil mempertahankan tindakan isterinya, Ardell Aryana, yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza, Palestin.

Ia susulan gelombang kecaman dan komen negatif segelintir warganet terhadap keputusan golongan selebriti menyertai misi tersebut di media sosial.

Nadzmi menjelaskan, penyertaan Ardell ke Gaza bukan untuk berperang, tetapi sebagai sebahagian daripada misi membawa bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang dilanda konflik berpanjangan.

“Kalau ada apa-apa jadi di sana contohnya, dan anda nampak ribuan orang pergi ke sana buat kemas kini setiap hari di media sosial, itulah pentingnya misi itu.

“Bermakna dunia sedang memerhati apa yang berlaku di sana, semua orang tahu, anda pun tahu. Cepat faham, ok?” katanya dalam satu sesi live, semalam.

Selain itu, Nadzmi menegaskan, tidak semua orang mampu menyertai misi seperti itu kerana kekangan kewangan, tanggungjawab keluarga atau pekerjaan.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana Allah telah memberikan rezeki lebih kepada mereka sebagai usahawan dan pemilik perniagaan sekali gus membolehkan isterinya memainkan peranan untuk membantu meskipun atas usaha yang kecil.

“Alhamdulillah, Allah dah rezekikan kami lebih sedikit. Kami bekerja, kami ada bisnes jadi ada duit lebih. Dan duit lebih itu, kami salurkan untuk misi kemanusiaan.

“Jadi, isteri saya pergi bukan sebab saya tak peduli, tapi sebab kami mampu dan terpanggil untuk bantu,”jelasnya.

Nadzmi turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang menghentam kononnya dia tidak pandai menjaga isteri hanya kerana memberi keizinan untuk Ardell menyertai misi kemanusiaan tersebut.

“Kenapa nak marah saya? Kenapa kecam saya? Ada yang kata saya suami bongok tak pandai jaga isteri? Ada yang sindir ‘mana telur kau?’ Kenapa biarkan isteri pergi?’ ‘Kenapa tak lelaki je pergi? Saya tak faham.

“Kenapa cakap begitu? Saya tak perlu jelaskan satu persatu komen begitu sebab sudah beritahu dari awal,”katanya.

Dalam pada itu, Nadzmi turut memuji semangat para sukarelawan yang menyertai misi tersebut yang dianggapnya sebagai luar biasa kerana menjadi insan terpilih.

“Anda tahu tak, orang yang pergi ini, mereka dah tak nampak dunia lagi. Mereka nampak Allah sahaja. Mereka tak fikir duit, tak fikir masa, tak fikir kerja.

“Mereka fikir keselamatan umat. Fikir tanggungjawab. Fikir akhirat. Saya harap semua pihak dapat luruskan niat. Niat kita nak bantu. Yang penting, kita dapat bantu dan balik, Alhamdulillah.

“Tak dapat balik, itu takdir. Tapi yang penting, bantu dulu. Luruskan niat. Niat pertama: nak tolong,” ujarnya.

Terdahulu, pada 28 Ogos lalu, Ardell bersama penyanyi Zizi Kirana berangkat ke luar negara untuk menyertai misi berkenaan. – UTUSAN





Source link