Malaysia Oversight

Isteri dakwa serangan bukan samun biasa, tuntut perlindungan polis

By MkiniBM in August 7, 2025 – Reading time 3 minute
Isteri dakwa serangan bukan samun biasa, tuntut perlindungan polis


Isteri kepada mangsa serangan, yang merupakan saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Lim Guan Eng, memohon perlindungan polis susulan kejadian yang menyebabkan suaminya cedera parah semalam.

G Geethajali berkata kejadian yang berlaku antara jam 6.30 pagi hingga 7.50 pagi di kediamannya semalam, bukanlah satu kes samun biasa.

“Adalah terlalu awal untuk mengatakan ini sekadar samun. Banyak perkara berlaku menunjukkan ia bukan (sekadar) samun, kerana kumpulan yang mengancam kami berbuat demikian atas alasan kononnya samun.

4f955812b4128ff9d796dde925bdf63e

“Terdapat banyak perkara ‘unik’ yang mereka lakukan, yang saya tidak boleh dedahkan di sini, tetapi ia menunjukkan mereka sebenarnya tidak berniat untuk samun.

“Saya mohon polis berikan perlindungan kepada kami, kerana keluarga saya kini dalam ketakutan berhubung apa yang berlaku… Saya sendiri melihat dengan mata saya bagaimana suami saya diugut, dipukul di mulut dan ditampar dengan parang,” katanya.

Geethajali menambah, siasatan polis di lokasi kejadian hanya selesai sekitar jam 5.30 petang hingga 6 petang semalam, manakala kenyataannya hanya dirakamkan pada hari ini.

Turut hadir bersamanya ialah peguam mereka, Muhammad Shafee Abdullah, yang memuji pihak berkuasa atas usaha mereka dalam siasatan yang sedang berjalan.

529c94ca9e2341e309989049087032b9
Muhammad Shafee Abdullah

“Ketika ini, terdapat beberapa laporan yang dibuat mengenai kejadian itu yang kami kurang berpuas hati, dan kami hanya mahu kejadian itu dilaporkan dengan tepat.

“Jelas bahawa ini bukan samun biasa. Ia adalah satu ancaman atau sesuatu yang dilakukan untuk menakutkan saksi utama,” katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan bahawa seorang saksi utama dalam perbicaraan Lim telah diserang, dengan pendakwa raya utama dalam kes itu menyatakan mereka sedang menunggu arahan lanjut mengenai keselamatan mangsa dan akan membangkitkan perkara itu di mahkamah pada tarikh perbicaraan seterusnya, 19 Ogos.

Pada hari yang sama, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shahrulnizma Ja’afar, menyatakan bahawa kejadian tersebut — yang diklasifikasikan sebagai samun — tidak berkaitan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

a91da0139100fa213c3208578e58906d
Lim Guan Eng

Susulan pengesahan kejadian oleh pihak pendakwaan semalam, peguam bela Lim dari firma Tetuan Haijan & Co berkata kenyataan pihak pendakwaan itu seolah-olah cuba mengaitkan anak guam mereka dengan serangan tersebut.

“Walaupun kami akui pihak pendakwaan berhak mempertimbangkan langkah perlindungan, sebarang tindakan mestilah berasaskan kebimbangan keselamatan yang sah dan bukan berdasarkan spekulasi atau prasangka tidak adil yang cuba mengaitkan anak guam kami dengan kejadian tersebut.

“Spekulasi sedemikian, sama ada daripada media atau pihak pendakwaan, menjejaskan integriti proses kehakiman dan mencemarkan reputasi anak guam kami secara tidak adil,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Lim sedang dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM3.3 juta sebagai dorongan untuk melantik Consortium Zenith Construction Sdn Bhd bagi melaksanakan projek bernilai RM6,341,383,702 itu.

069c032209de3aaeb4a66698cd94c72a
Zarul Ahmad Zulkifli

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan daripada bekas pengarah syarikat tersebut, Zarul Ahmad Zulkifli, sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek.

Lim turut menghadapi dua lagi pertuduhan atas dakwaan melupuskan dua lot tanah milik negeri Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang, bernilai RM208 juta, kepada pemaju projek terowong berkenaan secara tidak jujur.



Source link