Malaysia Oversight

Isteri Ayatollah Ali Khamenei meninggal dunia

By Utusan in March 3, 2026 – Reading time 2 minute
Isteri Ayatollah Ali Khamenei meninggal dunia


TEHERAN: Isteri kepada pemimpin tertinggi Iran meninggal dunia semalam selepas menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan dialami dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS)–Israel yang sama yang meragut nyawa suaminya.

Penyampai televisyen Iran dengan nada penuh kesedihan mengumumkan pemergian Mansoureh Khojasteh Bagherzadeh, 79, hanya dua hari selepas suaminya, Ayatollah Ali Khamenei, 86, terbunuh di kediamannya di Teheran, Sabtu lalu.

Media Iran pada Ahad turut melaporkan bahawa anak perempuan Khamenei, cucu, menantu perempuan dan menantu lelakinya juga terbunuh dalam serangan tersebut.

Rakaman di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Teheran memaparkan orang ramai, khususnya wanita, berhimpun dalam jumlah yang besar untuk berkabung.

Mereka kedengaran melaungkan slogan dan memukul dada di kedua-dua sisi platform tren.

Rakaman kesan serangan udara Israel pada Sabtu menunjukkan kepulan asap besar menjulang tinggi dari Rumah Kepimpinan, tempat Khamenei mentadbir pemerintahannya selama hampir 40 tahun.

Bagherzadeh berkahwin dengan Khamenei pada tahun 1965 dan dikurniakan empat orang anak lelaki serta dua orang anak perempuan sepanjang perkahwinan mereka.

Sepanjang dekad-dekad pergolakan yang berpunca daripada pemerintahan Khamenei ke atas Iran, Bagherzadeh telah menyokong beliau secara senyap.

Beliau tidak memegang sebarang tanggungjawab awam atau memainkan peranan rasmi dalam kepimpinan negara, sebaliknya menjauhkan diri daripada kamera dan kehidupan umum.

Apabila ditanya dalam satu wawancara  bersama media pada tahun 2011 mengenai peranannya dalam perjuangan Khamenei menentang Shah Iran, pemerintah sebelum revolusi 1979, beliau berkata: “Saya rasa peranan terbesar saya adalah mengekalkan suasana yang tenang di rumah kami supaya beliau dapat menjalankan tugasnya dengan aman.”

Shah Iran yang dimaksudkan ialah Mohammad Reza Pahlavi, pemerintah terakhir Iran sebelum digulingkan dalam Revolusi 1979. – AGENSI

 





Source link