Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri Che Mat, isterinya Noorhayati Ariffin berkata dia masih berduka kerana nasib suaminya masih tidak diketahui.
“Perasaan kecewa (itu) tetap ada kerana apa yang kita cari, Amri Che Mat tak tahu di mana.
“Keadaan beliau, hidup ke, mati ke, kesihatan beliau…? Dan kami sangat mengharapkan orang yang bertanggungjawab masih perlu bertanggungjawab atas apa yang telah mereka lakukan itu,” katanya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyampaikan keputusan hari ini.
Apabila ditanya mengenai keputusan mahkamah untuk membuka semula siasatan kes tersebut, Noorhayati melahirkan rasa syukur dan berharap perjuangan untuk merungkai penculikan Amri akan diteruskan.
Hari ini, mahkamah memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab secara tidak langsung terhadap kehilangan Amri pada 2016, dan mengarahkan mereka membayar ganti rugi sebanyak RM3 juta kepada Noorhayati, selain bayaran RM250,000 sebagai kos.
Hakim Su Tiang Joo, yang mengambil masa hampir dua jam membacakan penghakiman, turut mengarahkan polis membuka semula siasatan dan menyerahkan laporan siasatan kepada peguam negara setiap dua bulan.
“Saya mendapati terdapat kekurangan usaha untuk memaklumkan keluarga Amri mengenai perkembangan kes (dan) pengelasan yang salah terhadap kehilangan Amri — yang sepatutnya dikategorikan sebagai penculikan, bukannya orang hilang,” katanya.
Hakim turut menambah bahawa pihak berkuasa telah melanggar hak Noorhayati yang dilindungi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, kerana gagal menjalankan siasatan yang berkesan terhadap kehilangan Amri.
Mangsa ‘kehilangan paksa’
Pada tahun 2019, siasatan awam oleh Suhakam memutuskan bahawa Amri dan Pastor Raymond Koh, yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017, adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Koh, 62, diculik oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya. Rakaman CCTV yang dipercayai berhubung kejadian itu memaparkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga SUV hitam terlibat dalam penculikannya.
Bagi Amri, seorang aktivis yang berpangkalan di Perlis, Noorhayati sebelum ini memberi keterangan bahawa seorang pegawai Cawangan Khas Perlis, Shamzaini Mohd Daud, memberitahunya pada malam 12 Mei 2018 bahawa bahagian itu yang menjalankan penculikan tersebut.






