Malaysia Oversight

Israel serang hospital Gaza, 14 rakyat Palestin, 3 wartawan terbunuh

By MkiniBM in August 25, 2025 – Reading time 1 minute
Israel serang hospital Gaza, 14 rakyat Palestin, 3 wartawan terbunuh


Sekurang-kurangnya 14 orang awam terbunuh manakala puluhan lagi cedera apabila jet pejuang Israel menyerang Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis pada Isnin, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) memetik sumber perubatan.

Antara yang terkorban termasuk jurukamera Palestin TV Hossam al-Masry, jurukamera Al Jazeera Mohammed Salama dan wartawan Maryam Abu Daqqa, sementara beberapa wartawan lain turut cedera.

Petugas kesihatan dan pasukan pertahanan awam turut terbunuh ketika cuba memindahkan mangsa yang cedera.

Dua hari lalu, jurukamera Palestin TV Khaled al-Madhoun terbunuh dalam serangan udara berasingan oleh Israel.

Dalam laporan berasingan, WAFA memetik sumber perubatan sebagai berkata seramai 11 orang awam termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam lalu.

Sumber perubatan melaporkan jumlah keseluruhan korban akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan kini meningkat kepada 300 orang, termasuk 117 kanak-kanak.

– Bernama – Wafa



Source link