Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis selepas dikaitkan dengan serangan terhadap anak Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
Ismail berkata setiausaha akhbarnya telah membuat laporan polis bagi pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap sebuah laman Facebook yang menerbitkan dua artikel palsu dan berunsur fitnah, yang mengaitkannya dengan insiden tersebut serta satu skandal melibatkan sebuah syarikat swasta.
“Laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya,” kata anggota Parlimen Bera itu dalam kenyataan, hari ini.
“Keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam laman Facebook tersebut tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baik saya.
“Saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook ini serta mana-mana pihak yang menyebarkan artikel terbabit. Saya juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya terhadap pihak terbabit,” katanya lagi.
Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada Rafizi yang sebelum ini tampil menjelaskan perkara itu di X.
Penjelasan Rafizi
Terdahulu, Rafizi mendedahkan perjumpaannya dengan pembocor maklumat sebelum anaknya diserang berkaitan dengan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Bekas Menteri Ekonomi itu sebelum ini membayangkan serangan terhadap anak lelakinya yang berusia 12 tahun dengan jarum suntikan di tempat letak kereta pusat beli-belah di Putrajaya mungkin ada kaitan langsung dengan pertemuan tersebut.
Ketika itu, Rafizi hanya menyebut pertemuan itu melibatkan “seorang individu”, namun dia kemudian mendedahkan butiran lanjut selepas ada usaha mengaitkannya dengan Ismail Sabri dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, atas dakwaan dia sedang menyiasat kes yang dikaitkan dengan mereka.
Rafizi menyifatkan penyebaran cerita tidak benar bertujuan mengalih perhatian rakyat dan siasatan.
Malaysiakini telah menghubungi Farhash untuk mendapatkan komen susulan kenyataan terbaru Rafizi.