Malaysia Oversight

Irfan Haris mulakan 2026 dengan single berjudul ‘Tolong’

By Utusan in January 12, 2026 – Reading time 2 minute
Irfan Haris mulakan 2026 dengan single berjudul ‘Tolong’


Sebagai pembuka tirai tahun 2026, penyanyi muda berpengalaman Irfan Haris tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Tolong’, sebuah karya balada yang mengetengahkan luahan emosi tentang cinta, ketakutan dan kebergantungan. Single terbitan Sony Music Entertainment Malaysia ini menzahirkan kematangan Irfan sebagai penyanyi yang semakin yakin menyampaikan kejujuran emosinya.

‘Tolong’ hadir selepas kejayaan lagu duet ‘Rasa & Takdir’ bersama kakaknya, Amira Othman, yang meraih hampir empat juta tontonan di YouTube. Berbeza daripada karya terdahulu, single terbaharu ini memilih pendekatan yang lebih tenang dan jujur, tanpa mengejar sensasi, sebaliknya memberi ruang kepada emosi untuk disampaikan secara bersahaja.

Bagi Irfan, ‘Tolong’ merupakan antara karya paling dekat dengan hatinya setakat ini. Lagu ini menampilkan susunan muzik kemas oleh Wan Saleh, manakala melodi dan lirik dihasilkan oleh sepupunya, Dr. Syafiq Rashid.

“Melodi balada yang merintih dengan lirik yang mudah difahami ini sangat bermakna bagi saya. Lagu ini senang untuk disampaikan kerana ia dekat dengan apa yang saya rasa,” katanya.

Menurut Dr. Syafiq Rashid, pemilihan perkataan ‘Tolong’ sebagai judul lagu melambangkan ekspresi rayuan, pengharapan dan kebergantungan yang menjadi tema utama karya tersebut. Lagu ini bergerak di antara dua emosi yang sering hadir serentak dalam kehidupan, iaitu rasa bergantung dan rasa takut kehilangan, bukan sebagai lambang kelemahan, tetapi keberanian untuk mengakui keperluan terhadap insan tersayang.

Walaupun lagu ini boleh ditafsirkan dalam pelbagai konteks hubungan, bagi Irfan sendiri, emosi ‘Tolong’ sangat berkait rapat dengan keluarganya, khususnya ibu dan bapa.

“Saya tidak boleh bayangkan hidup saya tanpa mereka. Saya letakkan perspektif itu untuk dapatkan ‘feel’ ketika menyampaikan lagu ini,” katanya.

Dari segi penyampaian, Irfan memilih untuk tidak menonjolkan keupayaan vokal secara berlebihan, sebaliknya memberi fokus kepada emosi yang tulen dan jujur.

“Saya tidak kejar vokal tinggi. Saya hanya mahu sampaikan emosi yang ‘raw’, kerana bila pendengar boleh rasa, itu lebih bermakna,” jelasnya.

Single ‘Tolong’ kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Music dan YouTube, sekali gus menjadi karya pembuka tahun 2026 yang menandakan langkah berani serta kematangan Irfan Haris dalam perjalanan seninya.





Source link