Malaysia Oversight

Iran tawar jadi orang tengah selesai ketegangan India-Pakistan

By MkiniBM in April 26, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


GLOBAL | Iran menawarkan diri sebagai pengantara dalam menyelesaikan ketegangan antara India dan Pakistan ekoran serangan pengganas yang mengorbankan 26 nyawa di Kashmir yang ditadbir India.

Ketegangan di rantau itu memuncak selepas insiden tembakan oleh kumpulan bersenjata di Pahalgam, Jammu dan Kashmir pada Selasa lalu, yang kebanyakan mangsanya merupakan pelancong dari India.

Sebagai tindak balas, kedua-dua negara menurunkan taraf hubungan diplomatik, membatalkan visa rakyat masing-masing serta menggantung beberapa perjanjian dua hala yang telah lama termeterai.

“India dan Pakistan ialah jiran yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan Iran, berakar umbi dari ikatan budaya dan peradaban sejak berabad lamanya.

“Seperti jiran-jiran lain, kami mengutamakan mereka.

“Tehran bersedia untuk menggunakan kedudukannya yang baik di Islamabad dan New Delhi bagi memupuk persefahaman pada saat yang sukar ini,” kata Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dalam kenyataan di platform X pada Jumaat.

Hubungan kedua-dua negara terus tegang apabila India menuduh Pakistan mempunyai kaitan dalam serangan di Kashmir, menyebabkan siri tindakan balas yang membimbangkan serta kemungkinan tercetusnya konflik ketenteraan di Asia Selatan.

Pakistan pula menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh India.

Kedua-dua negara memanggil duta asing masing-masing untuk memberikan taklimat berhubung perkembangan terkini.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric pada Khamis menggesa India dan Pakistan agar “mengamalkan langkah berhemah dan memastikan keadaan tidak terus meruncing.”

Bernama



Source link