IQOO Z10 Turbo+ dihasilkan untuk pengguna yang mengutamakan prestasi permua dan ketahanan bateri. Sorotan utama peranti terletak pada bateri besar 8000mAh dengan pengecasan pantas 90W. Walaupun hadir dengan bateri besar, rekaannya masih nipis dengan ketebalan 8.1mm dan berat 212g.

Telefon ini dijana oleh cip Mediatek Dimensity 9400+ yang dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.1. Ia turut dilengkapi cip tambahan Q2 untuk meningkatkan prestasi grafik dan pengalaman permua. Paparan AMOLED bersaiz 6.78″ digunakan menyokong resolusi 2800 X 1260 piksel, kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak 5500nits.

Dari segi kamera, Z10 Turbo+ dilengkapi sensor utama 50MP Sony LYT-600 dengan OIS, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera hadapan 16MP. Ia juga menggunakan Android 15 dengan perisian OriginOS 5 untuk pengalaman antara muka terkini. Ciri tambahan lain termasuk penarafan IP65, pembesar suara stereo, IR Blaster dan pengimbas cap jari di skrin.

Telefon ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna seperti Polar Gray, Cloud White dan Desert Gold. Ia hadir dalam empat pilihan memori iaitu 12/256GB (CNY 2,299 / RM 1,355), 16/256GB (CNY 2,499 / RM 1,473), 12/512GB (CNY 2,699 / RM 1,591) dan 16/512GB (CNY 2,999 / RM 1,767). Buat masa ini, ia hanya tersedia untuk pasaran China melalui laman rasmi Vivo.