Intel Melakukan Pelaburan Tambahan RM860 Juta Lagi Di Malaysia
Effi Saharudin
Intel mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan dan ujian operasi. Pengumuman dilakukan oleh CEO Intel Lip-Bu Tan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam.

Penambahan pelaburan ini dilihat sebagai mencerminkan kepercayaan terhadap Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan perancangan jangka panjang negara. Dalam pertemuan yang sama, Intel merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan Malaysia, terutamanya untuk pembangunan kemudahan pembungkusan canggih di Pulau Pinang, yang melibatkan perbelanjaan modal sebanyak RM12 bilion dan kini telah siap 99%.
Walaupun Intel mengalami isu kewangan tahun lalu, projek ini masih diteruskan cuma diselaraskan semula dengan keadaan pasaran. Sementara pembinaan dua kilang di Jerman dan Poland ditangguh selama dua tahun dengan ia hanya akan disambung selepas melihat permintaan pasaran.
Perdana Menteri pula mengalu-alukan kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan menerima komitmen pembiayaan sebanyak RM2.8 juta sejak dua tahun lalu. Antara yang telah dilakukan ialah kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) yang menandatangani memorandum persefahaman dengan Purdue University dari Amerika Syarikat dan Intel untuk membangunkan makmal penyelidikan semikonduktor maju pertama mereka minggu lalu.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






