
Intel Dan BOE Bekerjasama Untuk Memperkenalkan Paparan Skrin Dengan Kadar Segar Semula 1Hz
Nazrin
Paparan dengan kadar segar semula dinamik bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi secara lazimnya angka segar semula ini masih lagi dilhat agak tinggi (40Hz keatas) dan masih memakan jangkahayat bateri.
Terkini, syarikat pembangun cip semikonduktor Intel bersama-sama dengan syarikat pembuat paparan skrin BOE dilaporkan telah bekerjasama untuk membangunkan paparan skrin yang hadir dengan kadar segar semula serendah 1Hz. Ini bermakna bahawa kandungan skrin akan hanya disegar-semula setiap saat, dan ini membantu dalam mengurangkan kadar penggunaan bateri.
Paparan ini dilihat menggunakan teknologi Multi Frequency Display yang akan memperlihatkan kandungan statik seperti imej dan teks pada kadar segar semula 1Hz, dan akan meningkat secara automatik apabila skrin ditatal ataupun menunjukkan kandungan dinamik.
Dalam pada itu, mereka juga telah memperkenalkan teknologi SmartPower HDR yang turut membolehkan paparan untuk memperlihatkan kandungan video HDR secara lebih cekap, dengan menaikkan dan menurunkan kadar kecerahan paparan bergantung kepada kandungan video HDR yang dipertontonkan.deng
Menurut kedua-dua syarikat ini, penggunaan paparan skrin MFD 1Hz dengan gabungan teknologi SmartPower HDR ini boleh membantu dalam mengurangkan penggunaan bateri sebanyak 65 peratus dan akan meningkatkan jangka-hayat bateri dengan lebih tinggi lagi.
Ia dijangka bahawa teknologi paparan ini akan diperlihatkan pada komputer-komputer riba Intel Panther Lake yang akan diperlihatkan seawal acara CES 2026 di Las Vegas pada awal Januari ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






