Instagram Menguji Ciri “Repost” – Kongsi Kembali Perkongsian Rakan-Rakan Ke Garis Masa
June 17, 2025
•
Aman
Di X atau Twitter, salah satu ciri yang popular adalah “Repost”. Ia membolehkan seseorang pengguna berkongsi perkongsian pengguna lain ke profil mereka, sekaligus membolehkan ia dicapai dan dibaca oleh rakan-rakan yang lain. Kini, Instagram dilaporkan menguji ciri yang lebih kurang sama.
Untuk makluman, Instagram sebelum ini pernah menguji ciri berkenaan sekitar 2022 yang lepas, dan nampaknya kini mereka sekali lagi menguji ciri tersebut. Instagram dilihat ingin melihat kepada pendapat pengguna berkaitan ciri berkenaan sebelum memperkenalkan ia secara meluas.
Pada hari ini, Instagram sedia membolehkan pengguna berkongsi semula Instagram Stories apabila di tag. Ciri yang diuji ini pula membolehkan perkongsian semula gambar atau video yang diterbitkan pada Instagram Feed.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi apakah perancangan penuh Instagram dengan ciri ini. Memandangkan ciri perkongsian semula sedia popular di Threads, tidak mustahil ia turut dipanjangkan ke media sosial memfokuskan visual berkenaan.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.