Malaysia Oversight

Inspektor Sheila sebenarnya tegur polis didakwa ugut warga asing

By MkiniBM in November 8, 2025 – Reading time 3 minute
Inspektor Sheila sebenarnya tegur polis didakwa ugut warga asing


Pegawai polis digantung tugas, Sheila Sharon Steven Kumar sebenarnya menegur beberapa anggota polis kerana didakwa cuba mengugut seorang warga asing, kata peguamnya berhubung video yang tular baru-baru ini.

M Manoharan memberitahu Malaysiakini bahawa anak guamnya berada berdekatan ketika dia menyaksikan insiden tersebut, lalu memutuskan untuk campur tangan.

“(Ada tiga) anggota polis yang cuba memeras wang sebanyak RM200 (daripada seorang warga Pakistan). Sheila perasan konfrontasi itu ketika dia lalu di kawasan tersebut, pergi bantu warga asing itu, tegur anggota polis berkenaan, dan membantu warga asing itu membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi kemudian.

“Apa yang cuba dilakukan oleh polis itu sangat serius. Tiada salahnya Sheila menegur mereka.

“Berbanding mengeluarkan saman atas apa juga kesalahan warga asing itu, anggota polis berkenaan sebaliknya (cuba) memeras wang daripadanya,” dakwa Manoharan.

Terdahulu, video yang tular di media sosial itu menunjukkan Sheila yang berbaju hitam memarahi beberapa anggota polis di tepi jalan.

Siasatan terhadap Sheila

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dilaporkan pada Khamis lalu dilaporkan berkata anggota polis terbabit telah membuat laporan polis terhadap Sheila berhubung insiden itu.

Menurut laporan Bernama, Fadil berkata kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dan Seksyen 24 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil atas kelakuan menghina.

a8fd734edb2029aa7972a1ba08433a1a
Fadil Marsus

Dia mendakwa anggota polis tersebut menahan seorang lelaki Pakistan berusia 34 tahun selepas mendapati dia memandu tanpa lesen, dan Sheila menghampiri mereka ketika mereka sedang berurusan lelaki itu.

Fadil berkata siasatan terhadap Sheila telah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

Namun, Manoharan berkata Sheila tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis.

Sheila sebelum ini berdepan tujuh pertuduhan, antaranya ugutan dan kacau ganggu awam. Dia telah digantung daripada tugasnya.

Namun, dia dibebaskan daripada empat pertuduhan, dengan tiga lagi pertuduhan masih berjalan di mahkamah:

  • Seksyen 509 Kanun Keseksaan — menghina kesopanan seorang anggota polis

  • Seksyen 506 — ugutan jenayah

  • Seksyen 286 — menyebabkan kacau-ganggu awam

Lelaki Pakistan buat laporan polis

Warga Pakistan itu turut membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa menyiasat insiden pada 4 November lalu yang melibatkan dirinya, seorang rakan sekerja, tiga anggota polis dan Sheila.

Dokumen yang dilihat Malaysiakini menunjukkan lelaki itu mendakwa dia ditahan oleh tiga anggota polis di lampu isyarat berhampiran Titiwangsa Sentral ketika memandu Toyota Innova, dengan rakan sekerjanya di tempat duduk penumpang.

Dia mendakwa anggota polis tersebut tidak memperkenalkan diri ketika menahannya, tiada tanda nama kelihatan pada uniform, dan salah seorang anggota meminta lesen memandu Malaysia serta pasport Pakistan miliknya dan rakan sekerjanya.

Menurutnya, dia telah bekerjasama dengan menunjukkan salinan pasport dan permit kerja di telefonnya, dan anggota berkenaan memberitahu bahawa dia sepatutnya sentiasa membawa dokumen asal.

Katanya lagi, dia keudian mengakui kesalahannya, meminta maaf, dan menawarkan untuk membawa anggota polis itu ke rumahnya yang berdekatan.

Namun, katanya, anggota polis itu menolak dan memintanya keluar dari kenderaan, mengatakan mereka akan mengeluarkan saman kepadanya dan majikannya, kerana majikan “perlu bertanggungjawab mengawasi pekerja pada setiap masa.”

“Apa yang saya faham daripada perbualan dengan anggota polis ialah saya perlu membayar RM200 untuk ‘menyelamatkan’ saya dan majikan saya daripada tindakan lanjut pihak berkuasa,” menurut laporan itu.

Katanya, dalam keadaan panik, dia bercakap dengan rakan sekerjanya, yang kemudian keluar dari kereta dan bertanya kepada polis mengapa majikan perlu disaman, dan berkata ia tidak logik dan saman sepatutnya dikeluarkan kepada pemandu jika tiada lesen.

Dia berkata situasi kemudian bertukar tegang, dan ketika itulah Sheila, yang kebetulan berjalan bersama dua rakannya, melihat insiden itu dan campur tangan.

“Sheila kemudian mula menyoal tentang tanda nama mereka, kerana ia tidak kelihatan pada uniform, menyebabkan mereka kemudian memakai tanda nama pada uniform.

“Dia juga bertanya sebab dan alasan mereka menyoal saya seperti saya seperti suspek yang dikehendaki polis. Persoalan tersebut tidak dapat dijawab dan jawapan yang diberikan adalah berdolak-dalih.

“Anggota polis kemudian dilihat mengarahkan seorang lagi anggota menulis saman dalam keadaan segera kepada saya dan beredar,” katanya dalam laporan tersebut.



Source link