Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyifatkan insiden pelajar Tingkatan Empat ditikam di sekolah di sebuah sekolah di Petaling Jaya baru-baru ini sebagai bukti kegagalan kerajaan.
Jelas Muhyiddin, kehilangan seorang anak di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat dan mendidik ini bukan sekadar satu tragedi, tetapi tamparan besar terhadap sistem pendidikan negara yang sepatutnya melindungi masa depan generasi muda.
“Setiap kehilangan nyawa di sekolah adalah bukti nyata kegagalan dasar, kelemahan kepimpinan, dan kecuaian institusi.
“Kegagalan melindungi anak-anak ini bukan hanya kegagalan kementerian ia kegagalan moral dan tanggungjawab seluruh kerajaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga yang kehilangan anak perempuan mereka, dia menggesa Putrajaya menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat punca sebenar kejadian tragis itu.
Jawatankuasa itu, katanya, juga harus mengkaji kelemahan langkah keselamatan sekolah dan mencari jalan untuk memperbaikinya.
Cadangan lain yang diajukan Ahli Parlimen Pagoh itu ialah agar kerajaan memperuntukkan dana melalui Belanjawan 2026 bagi meningkatkan keselamatan sekolah dan saringan psikososial serta program intervensi awal bagi pelajar yang menunjukkan tanda-tanda tekanan, agresif atau berisiko melakukan keganasan.
Selain itu, Muhyiddin mahu kerajaan mewajibkan latihan keselamatan dan pengurusan krisis untuk semua guru serta warga sekolah supaya mereka mampu bertindak segera apabila berlaku ancaman.
Muhyiddin juga menyatakan bahawa untuk menangani kes keganasan di sekolah, Putrajaya perlu memulakan pendekatan keseluruhan kerajaan.
Semalam, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Penyerang yang didakwa turut menyerang rakan sekelas yang lain sebelum diberkas polis. Dia dijadualkan untuk perbicaraan reman hari ini.
Kes ini berlaku hampir dua minggu selepas satu lagi insiden mengejutkan negara di Melaka, di mana empat remaja ditahan kerana didakwa merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga di dalam kelas pada 2 Okt.
Polis memperoleh perintah reman enam hari terhadap suspek pada 11 Okt lepas. Mereka disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol beramai-ramai.
Terdahulu, ahli parlimen Perikatan Nasional menggesa pihak berkuasa melancarkan siasatan menyeluruh terhadap kematian seorang murid Darjah Empat yang ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, awal bulan ini dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.






