Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin hari ini berkata kekecohan yang menyaksikan seorang pegawai kanan polis cedera di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur hari ini boleh dielakkan.
Kata Hamzah operasi yang dijalankan pihak berkuasa hari ini boleh ditangguhkan kerana penduduk terbabit sudah memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mereka, tambahnya, berkumpul untuk menzahirkan rasa tidak puas hati kerana isu berkenaan bukan sekadar aspek pembangunan semata-mata, sebaliknya “menyentuh maruah” dan hak ke atas kediaman serta harta benda.
“Kekecohan itu sebenarnya boleh dielakkan melalui perundingan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pagi tadi polis mengepung kawasan Kampung Sungai Baru untuk operasi pengusiran yang dibuat melalui perintah mahkamah bagi memudahkan syarikat KL City Gateway Sdn Bhd membangunkan semula kawasan terbabit.
Dalam operasi itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Suzilme Affendy Sulaiman, turut mengalami kecederaan yang difahamkan berlaku selepas beberapa penduduk yang tidak berpuas hati cuba memasuki kawasan itu.
Apabila penduduk disekat oleh polis pencegah rusuhan, mereka bertindak membaling objek, termasuk batu, ke arah pihak berkuasa. Suzilme dipercayai terkena salah satu objek yang dilempar itu.
Polis kemudiannya memberi amaran keras kepada penduduk supaya bersurai yang kemudian mereka patuhi.
Operasi itu turut melibatkan pemotongan bekalan elektrik bermula awal pagi dan diketuai bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.
Kata Hamzah, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan dan mesti ditangani secara adil oleh semua pihak dengan memastikan kebajikan, nilai kemanusiaan dan hak asasi rakyat dilindungi dan dihormati.
“Saya menzahirkan rasa kesal dengan insiden kekecohan dalam operasi pengusiran di Kampung Sungai Baru dan saya juga bersimpati dengan anggota polis serta orang awam yang tercedera dalam kekecohan itu,” katanya.