Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyatakan kebimbangannya terhadap sikap sesetengah rakyat Malaysia yang mudah melatah dan menggunakan lensa perkauman semasa memberi reaksi terhadap insiden sambutan Hari Merdeka di Perak semalam.
Merujuk kenyataan Bukit Aman mengenai bangsa suspek malam tadi, Lim berkata, penjelasan sebegitu jelas menunjukkan betapa rapuhnya perpaduan nasional.
“Tindakan peribadi seorang itu dilihat menerusi mata perkauman.
“Ini menunjukkan masalah yang lebih mendalam dalam masyarakat kita.
“Apabila sesuatu yang luar biasa berlaku, orang lebih cenderung bertanya: ‘Dia bangsa apa?’ berbanding apa sebenarnya yang berlaku,’” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim menegaskan cara fikir sebegitu menandakan keretakan kepercayaan yang lebih luas antara masyarakat dan mengalihkan fokus pihak berkuasa daripada isu sebenar.
“Daripada menumpukan fokus kepada isu keselamatan, sumber digunakan untuk membetulkan khabar angin dan mengurus maklumat palsu,” tambahnya.
Semalam, seorang wanita berusia 41 tahun berlari naik ke pentas ketika lagu Perak dimainkan dan cuba menghampiri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Dia bagaimanapun segera ditahan oleh pasukan keselamatan.
Wanita terbabit yang mempunyai rekod rawatan psikiatri memasuki kawasan berkenaan dari tepi pentas.
Tidak lama kemudian tersebar dakwaan kononnya wanita terbabit berketurunan Cina sehingga mengundang reaksi yang melibatkan isu perkauman.
Malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, mengesahkan wanita tersebut berbangsa Melayu dan mempunyai sejarah rawatan psikiatri.
Lim berkata rakyat Malaysia wajar berhenti membiasakan diri memandang setiap insiden dari sudut perkauman dan pada masa sama menekankan perlunya literasi media yang lebih kukuh untuk mengekang maklumat palsu.
“Bukan semua perkara perlu dikaitkan dengan kaum. Tidak semua kejadian perlu dipolitikkan atau dijadikan senjata untuk menimbulkan kemarahan.
“Rakyat Malaysia perlu lebih kritis terhadap apa yang mereka baca di dalam talian. Syarikat media sosial dan pemimpin masyarakat juga ada peranan,” katanya.
Ahli Parlimen DAP itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak mensensasikan keadaan psikiatri wanita berkenaan, sebaliknya menekankan keperluan berempati.
“Insiden ini tidak sepatutnya menjadi isu perkauman. Tetapi hakikat ia dijadikan begitu menunjukkan betapa jauhnya lagi perjalanan kita dalam membina Malaysia yang matang dan bersatu,” kata Lim.