Malaysia Oversight

Innovestmy, Exalumen Technologies rai anak yatim sempena Hari Malaysia

By Utusan in September 23, 2025 – Reading time 2 minute
Innovestmy, Exalumen Technologies rai anak yatim sempena Hari Malaysia


PETALING JAYA: Innovest Sdn. Bhd. dengan kerjasama Exalumen Technologies Sdn. Bhd, menganjurkan program komuniti dengan menjemput 30 orang kanak-kanak dari Lotus Charity Care Centre menonton tayangan filem istimewa sempena sambutan Hari Malaysia, baru-baru ini.

Inisiatif itu bertujuan meraikan anak-anak daripada pusat kebajikan tersebut untuk merasai pengalaman hiburan yang jarang mereka nikmati, sekali gus mengukuhkan semangat prihatin serta kepedulian sosial dalam kalangan syarikat korporat.

Pengarah Innovestmy Sdn. Bhd., Lee Miew Lan berkata, Hari Malaysia bukan sekadar perayaan namun lambang kepada kekuatan dan keindahan sebuah negara yang dibina atas dasar kesepaduan.

“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak diraikan dan diberi peluang untuk bergembira tanpa mengira latar belakang mereka sekali gus memberi inspirasi kepada pihaknya untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif sosial,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Exalumen Technologies, Angeline Barron berkata, kejayaan sesebuah syarikat bukan sahaja diukur pada pencapaian perniagaan, tetapi juga pada sejauh mana kita mampu memberi kembali kepada masyarakat.

“Saya berharap program sebegini bakal menjadi permulaan kepada lebih banyak aktiviti kemasyarakatan yang akan disertai pada masa akan datang,” katanya.

Majlis itu turut memperkenalkan aplikasi BolehJe sebagai platform digital yang membantu belia, pelajar dan freelancer mencari kerja jangka pendek, menjana pendapatan secara fleksibel serta memudahkan syarikat atau individu mendapatkan bakat tempatan.

Aplikasi tersebut bukan sahaja menjadi medium untuk memperkasakan ekonomi belia, malah berperanan sebagai jambatan antara majikan dan tenaga kerja dalam era ekonomi digital.

Usaha itu sejajar dengan misi Innovest dan Exalumen untuk memperkukuh daya saing masyarakat memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan serta semangat “Keluarga Malaysia” di samping menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif di Malaysia.

Sempena Hari Malaysia, kedua-dua syarikat berharap usaha kecil ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak korporat untuk berganding bahu dalam menyebarkan kebaikan kepada masyarakat. – UTUSAN





Source link