Pakar patologi utama yang melakukan bedah siasat terhadap Qairina Mahathir selepas kematiannya memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa pelajar berusia 13 tahun itu berkemungkinan besar melompat atau menghayunkan dirinya melepasi palang asrama tingkat tiga.
Dr Jessie Hiu menjelaskan Zara juga berkemungkinan memanjat dinding konkrit dan melangkah melepasi palang besi yang berkedudukan melintang.
Katanya lagi, kedudukan tubuh Zara ketika ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu berhampiran jeriji longkang di kaki blok asrama, menunjukkan daya trajektori dan membayangkan ia melibatkan pergerakan aktif, bukannya terjatuh secara pasif.
“Berdasarkan maklumat mengenai kedudukan dan lokasi mayat si mati yang ditemui pada 16 Julai, dia mesti sama ada melompat atau menghayun dirinya,” katanya kepada mahkamah.
Hiu berkata demikian selepas timbalan pendakwa raya Badiusman Ahmad memintanya mengesahkan sama ada Zara melompat atau menghayun diri yang membawa kepada kejadian itu.
Keterangan pakar patologi itu menyusuli penemuannya sebelum ini bahawa Zara tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak.
Dia berkata koridor asrama itu mempunyai palang setinggi 118cm, manakala ketinggian Zara ialah 154cm, menjadikan penghadang itu lebih tinggi daripada pusat graviti tubuhnya.
Hiu juga menjelaskan yang jika Zara meletakkan sebelah kakinya ke luar terlebih dahulu, dia akan jatuh dengan kepala dahulu.
Sebaliknya, corak kecederaan antemortem menunjukkan kaki kiri Zara mengenai tanah dahulu, diikuti kaki kanan, sebelum dia terhentak pada bahagian sisi dan kemudian terlentang.
Mesin basuh berhampiran
Sementara itu, Badiusman juga bertanya jika Hiu ada melihat mesin basuh di lokasi kejadian. Dia menjawab ada, walaupun tidak begitu mengingatnya dengan jelas.
“Ia terletak bersebelahan tangga di tingkat bawah,” katanya.
Ditanya tentang saiz mesin itu, Hiu menyifatkannya sebagai model domestik dan bukannya industri.
“Saya tidak memeriksa saiz dram mesin basuh tersebut. Saya dimaklumkan mangsa mempunyai berat 53 kilogram, dan saya tidak fikir mesin itu boleh berfungsi dengan beban seberat 53 kilogram,” katanya lagi.
Prosiding kemudian bersambung dengan sesi soal balas oleh salah seorang peguam saksi, Ahzhier Farhan, sebelum hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan mengarahkan rehat 15 minit.
Pakar patologi tolak kemungkinan dipukul
Apabila disoal oleh Ahzhier, Dr Jessie Hiu berkata kecederaan Zara tidak konsisten dengan kesan pukulan, sebaliknya menunjukkan jatuh dari tempat tinggi.
Katanya, kepatahan pada tulang belakang remaja berusia 13 tahun itu memerlukan impak kuat tetapi ia tidak disertai dengan kerosakan tisu lembut yang lazimnya wujud akibat hentakan berulang.
Hiu menerangkan yang Zara jatuh dengan kaki dahulu, dengan daya hentakan bergerak ke atas tubuhnya sebelum kepalanya terhentak ke tanah.
Ketika sesi soal jawab, seorang wakil daripada Persatuan Undang-Undang Sabah membantah apa yang disifatkannya sebagai soalan berbentuk memimpin daripada Ahzhier.
Dia berhujah yang prosiding inkues bersifat penyiasatan (inquisitorial), bukannya pertentangan (adversarial).
Amir kemudian membenarkan sesi soal jawab diteruskan, dengan menegaskan tujuan inkues adalah untuk menentukan punca kematian.
Hiu turut berkata tiada tanda menunjukkan Zara diseret, dengan menekankan ketiadaan kesan calar atau lelasan yang biasanya menunjukkan tubuh ditarik ke lokasi dia ditemui.
Peguam ibu Zara, Rizwandean M Borhan juga menyoal Hiu dengan memberi tumpuan kepada senario hipotesis tentang bagaimana remaja itu mungkin melepasi palang – sama ada dengan duduk, berlari, atau berdiri di atasnya.
Hiu berkata dia tidak dapat mensimulasikan situasi sedemikian secara sepenuhnya dan menjelaskan jawapan lebih jelas hanya akan diperoleh semasa lawatan ke lokasi kejadian yang dijadualkan pada 11 Sept ini.