Koroner Amir Shah Amir Hassan yang mendengar inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini meluahkan kekecewaan selepas dimaklumkan bahawa pernyataan saksi remaja pertama telah tersebar di media sosial.
Remaja berkenaan, yang merupakan antara tertuduh dalam kes buli membabitkan Zara Qairina, dijadual memberi keterangan hari ini namun susulan insiden itu, Amir Shah memutuskan untuk menangguhkan prosiding sehingga Isnin ini.
“Saya amat kecewa dengan perkara ini. Sila ambil tindakan sewajarnya dan buat laporan polis berhubung isu ini,” katanya sambil menambah prosiding seterusnya akan berlangsung secara tertutup.
Terdahulu, peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili pelajar terbabit, memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa remaja itu sudah bersedia untuk memberi keterangan namun selepas pernyataan saksinya tular di media sosial, dia dan ibunya menjadi takut serta tertekan.
“Saya telah melihat dalam TikTok dan mendapati nama serta alamat kelima-lima tertuduh telah didedahkan… saya mohon arahan daripada mahkamah agar identiti mereka dilindungi memandangkan orang awam kini sudah mengetahui bahawa mereka akan tampil sebagai saksi.
– Bernama