Saksi pertama dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir berkata terpulang kepada pertimbangan Mahkamah Koroner untuk menentukan sama ada remaja itu telah membunuh diri atau sebaliknya.
Dr Jessie Hiu, 58, yang menjalankan bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di Kota Kinabalu, pada 10 Ogos lepas berkata demikian menjawab soalan daripada peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang remaja yang didakwa dalam kes buli Zara Qairina.
Ram: Sekiranya bukan disebabkan kemalangan atau didorong ketika berdiri atau duduk di atas penghadang, adakah kemungkinan si mati jatuh sendiri? Dr Hiu menjawab, “Ia terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya.”
Ram: Pendek kata, mengikut apa sahaja definisi sekalipun, adakah situasi yang melibatkan si mati ini boleh dianggap sebagai bunuh diri, memandangkan tiada kemalangan atau tolak? Saya bertanya kerana anda seorang pakar.
Dr Hiu: Jawapan saya tetap sama, terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya.
Ditanya mengenai bau mayat yang mereput, Dr Hiu mengakui “ia berbau busuk”, bagaimanapun pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina membantah soalan terbabit kerana ia tidak relevan. Koroner Amir Shah Amir Hassan turut membenarkan bantahan itu.
Terdahulu, satu patung bersaiz kanak-kanak dibawa masuk ke mahkamah untuk membantu pakar perubatan menerangkan kecederaan yang ditemukan pada si mati.
Dr Hiu, pakar patologi yang telah berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik, HQE sejak 1998, menandakan enam bahagian pada patung terbabit yang sepadan dengan kecederaan ditemukan pada badan Zara Qairina iaitu belakang kepala, tapak tangan, belakang lengan bawah, belakang siku, buku lali kanan dan kaki kiri.
Pendengaran inkues akan bersambung Isnin.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di HQE pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.
Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
– Bernama