Malaysia Oversight

Inkues berhubung kematian Zara Qairina dijalankan esok

By TheSun in August 18, 2025 – Reading time 1 minute
Inkues berhubung kematian Zara Qairina dijalankan esok


KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah menetapkan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina Mahathir esok, 18 Ogos.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara demikian susulan permohonan dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593).

“Memandangkan kes ini adalah suatu kes yang berkepentingan awam, jabatan ini akan memohon agar permohonan kes ini dipercepat demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan sahaja kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga demi kepentingan masyarakat umum,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu merujuk kepada kenyataan media AGC bertarikh 13 Ogos mengenai keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya

AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia berhubung kes tersebut pada 12 Ogos.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai- BERNAMA



Source link