Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, sekali lagi menegaskan bahawa serangan terhadap anaknya merupakan satu ugutan yang berkaitan dengan tugasnya sebagai ahli parlimen.
Dalam sidang media yang disertai oleh ahli-ahli parlimen PKR di parlimen hari ini, Rafizi mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan dan doa mereka, selain memaklumkan keluarganya berada dalam keadaan baik.
Dia juga menegaskan insiden itu tidak akan mengubah pendiriannya.
“Saya akan sebut selepas ini bahawa clearly, secara jelasnya ini adalah satu ugutan.
“Jadi saya pun telah nyatakan kepada pihak polis, supaya pandangan saya, pada hemat saya, bahawa ini adalah satu ugutan yang bersabit dengan tugas saya sebagai seorang ahli parlimen dan juga ahli politik,” katanya.
Rafizi berkata dia dan keluarganya akan meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun berdepan ancaman sedemikian.
“Mana yang isteri saya kena jaga kucing, kena jaga kucing. Dan saya akan terus seperti biasa dalam rutin harian saya,” kata bekas timbalan presiden PKR itu sambil tersenyum sinis.
Menurutnya, setiap keputusan dalam keluarga dibuat bersama isteri, dan setakat ini katanya, mereka tidak berhasrat mengubah pendirian.
“Kami sudah lalui semua ini sejak 15 tahun lalu. Tentu sekarang ni dimensi dia lain sikitlah kerana ia melibatkan anak.
“Tapi sebelum ini pun isteri dan anak saya sudah beberapa kali menghadapinya — termasuk ketika saya berdepan kemungkinan dipenjara.
“Kalau perancang serangan ini fikir saya akan ubah haluan, itu tidak akan berlaku,” tegasnya.
Pada satu ketika, Rafizi kelihatan sebak sehingga mendorong beberapa ahli parlimen PKR menepuk belakangnya sebagai tanda sokongan.
Mengulas serangan semalam yang berlaku di siang hari di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, Rafizi berkata semua langkah keselamatan yang perlu telah diambil, namun menggesa pihak berkuasa diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan.
Rafizi turut berkata selama ini dia menolak tanggapan bahawa keluarganya perlu hidup dengan peraturan berbeza hanya kerana kedudukannya dalam masyarakat.
“Isteri saya tak ada orang kenal. Jarang sangatlah saya muncul bersama dengan isteri saya atau anak saya supaya mereka boleh menjalani hidup normal, mereka boleh pergi kemana-mana, orang tak kenal.
“Saya pun memang tak ada security detail. Saya pergi jogging sendiri. Saya berjalan seorang dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun, Rafizi mengakui keluarganya kini terpaksa hidup dengan kawalan keselamatan lebih ketat buat sementara waktu.
“Saya antara yang paling tegas mempertahankan privasi. Menjadi ahli politik adalah kerja saya, dan saya sepatutnya boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
“Tapi selepas insiden ini, kami sudah buat semua persiapan, dan kami terpaksa hidup dengan keselamatan lebih ketat sehingga penilaian lanjut dan nasihat daripada pihak polis,” katanya.