Malaysia Oversight

Ini satu permulaan baru, kata Faisal Halim

By MkiniBM in October 13, 2025 – Reading time 2 minute
Ini satu permulaan baru, kata Faisal Halim


Pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim meluahkan rasa syukur dan gembira selepas menamatkan kemarau jaringan menjelang aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, malam esok.

Pemain FC itu, yang kembali menjaringkan gol untuk Harimau Malaya selepas hampir dua tahun ketika menewaskan Laos 3-0 pada aksi Khamis lepas, menyifatkan detik tersebut sebagai permulaan baru dalam kariernya bersama skuad kebangsaan.

Dia yang lebih mesra disapa Mickey itu berkata kejayaan tersebut hasil usaha gigih serta sokongan berterusan daripada rakan sepasukannya yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang tempoh pemulihan dan usahanya untuk kembali ke puncak prestasi.

“Alhamdulillah, selepas 623 hari tanpa jaringan, akhirnya saya berjaya kembali menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan. Saya sangat gembira kerana jurulatih memberi saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya dan saya bekerja keras untuk mencapainya

“Saya berusaha keras untuk capai sasaran dan mendapatkan semula prestasi saya. Saya berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang sentiasa menyokong dan memberi motivasi kepada saya,” katanya pada sidang media praperlawanan menentang Laos di , hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata gol terbarunya itu bukanlah penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan baru untuk terus memberi sumbangan terbaik buat skuad Harimau Malaya.

“Apa yang boleh saya katakan ini bukan suatu penamat, ini satu permulaan baru untuk saya terus berjuang bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Sebagai rekod, Mohamad Faisal yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada pertemuan dengan Laos Khamis lepas melengkapkan kemenangan 3-0 skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski menerusi jaringan pada masa tambahan separuh masa kedua.

Malaysia, yang kini mendahului Kumpulan F dengan sembilan mata, akan menentang Laos esok dalam usaha mengekalkan rekod sempurna kempen kelayakan.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini mendahului kumpulan dengan mengumpul sembilan mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (enam mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa mata.

-Bernama



Source link