Lebih sedekad terpisah dengan anak perempuannya, N Indira Gandhi menggambarkan perarakan yang dijadual pada 22 November ini di Kuala Lumpur sebagai “rayuan terakhir seorang ibu terhadap hati nurani negaranya”.
“Perarakan ini bukan untuk menentang mana-mana agama, kaum atau institusi…ia mewakili derita perpisahan, ketabahan harapan, dan semangat kasih sayang yang tidak dapat dipadamkan oleh ketidakadilan.
“Sambil saya menolak stroller Prasana (Diksa), yang penuh dengan pakaian dan mainannya, saya akan juga membawa semangat yang anda berikan kepada saya selama ini. Perarakan akan mencapai kemuncak di Bukit Aman, di mana saya sendiri akan menyerahkan teddy bear Prasana kepada Ketua Polis Negara – satu simbol keyakinan seorang ibu bahawa keadilan, walaupun tertangguh, masih boleh ditegakkan,” katanya.
Indira menggesa sesiapa yang ingin menyertai perarakan untuk berpakaian putih, warna yang menurutnya melambangkan “kesucian, kebenaran dan kasih sayang seorang ibu”.
Perarakan itu akan bermula di pusat beli-belah Sogo pada jam 10.30 pagi.
“Biarlah kesatuan kita dalam warna putih menunjukkan kepada dunia yang kasih sayang kekal sebagai bentuk keadilan paling murni.

“Kehadiran anda pada hari itu akan menjadi lebih bermakna daripada apa yang dapat diungkapkan kata-kata. Ia akan menegaskan kembali keyakinan kita bahawa tiada siapa yang melangkaui undang-undang, dan kehebatan sebuah negara diukur melalui belas ihsannya kepada kalangan yang paling tidak berdaya.
“Dari sudut hati paling dalam, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kerana bersama-sama saya di jalan ini – dengan empati, keyakinan dan keberanian. Marilah kita berarak bersama-sama buat kali terakhir, bukan saja untuk anak saya, tetapi untuk keadilan itu sendiri,” katanya lagi.
Rayuan Indira ini di tengah pendedahan bahawa bekas suaminya, Riduan Abdullah mungkin masih bebas di Malaysia walaupun waran tangkap ke atasnya telah dikeluarkan lebih 10 tahun lalu.
Pemeriksaan Malaysiakini di platform Budi95 dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) menggunakan nombor kad pengenalan yang dikaitkan dengan Riduan mendapati akaunnya telah menggunakan kesemua bantuan tunai RM100 dan sebahagian daripada 300 liter kuota subsidi Budi95.
Ia mengundang kemarahan awam terhadap apa dilihat sebagai tiadanya tindakan pihak berkuasa untuk bertahun lamanya.
Kemelut ini bermula pada 2009 apabila Riduan secara sepihak menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira, dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.
Walaupun Mahkamah Tinggi Ipoh telah memberikan hak penjagaan penuh kepadanya setahun kemudian, kes ini berlarutan apabila Mahkamah Rayuan pada 2014 membatalkan perintah Mahkamah Tinggi agar Ketua Polis Negara mendapatkan semula Prasana.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan akhirnya memerintahkan polis untuk menahan Riduan dan menyatukan semula Prasana dengan ibunya, namun ia masih belum dilaksanakan.
Pada 2020, Indira memfailkan saman RM100 juta dengan menamakan bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai defendan, atas kegagalan mereka menguatkuasakan perintah mahkamah.
Namun pada Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan tersebut, memutuskan yang pihak berkuasa telah menjalankan tanggungjawab mereka. Mahkamah Rayuan kemudian mendengar hujah bahawa pihak polis tidak mempunyai “tanggungjawab penjagaan” terhadap Indira dalam usaha berterusan mencari anaknya.
Kini, menjelang perarakan itu, usaha Indira telah kembali ke titik mula – dari koridor kuasa dan keadilan ke jalanan di ibu kota.






