Industri Pusat Data Akan Memakan 70 Peratus Daripada Pengeluaran Memori Global Pada Tahun Ini – WSJ
Nazrin
Pada pertengahan tahun lepas, kita dapat lihat bahawa sektor pusat data dan AI khususnya telah mula memakan banyak daripada bekalan memori DRAM sehinggakan syarikat pengeluar komponen memori seperti Micron telah mengumumkan bahawa mereka akan menutup jenama memori pengguna Crucial untuk memfokuskan kepada pengeluaran komponen HBM untuk sektor AI.
Sebuah laporan baru oleh Wall Street Journal telah mengatakan bahawa 70 peratus daripada pengeluaran komponen memori (DRAM, NAND) akan digunakan untuk membina mesin pelayan dan menguasakan sistem kecerdasan buatan yang kini sedang dikejar oleh banyak syarikat-syarikat teknologi global.
Isu ini dilihat bukan sahaja akan membelenggu sektor perkomputeran dan peranti pintar pengguna, tetapi juga banyak sektor-sektor lain seperti automotif, elektronik pengguna dan lain-lain. Fokus syarikat memori terhadap pengeluaran komponen memori untuk sektor pusat data dan AI akan menyebabkan bekalan komponen untuk industri pengguna yang lain terkesan juga.

Isu bekalan memori ini dapat dilihat melalui beberapa insiden yang berlaku sebelum ini, seperti Jensen Huang, CEO NVIDIA keluar makan malam bersama-sama para ketua dari Samsung dan SK Hynix, dua daripada syarikat pengeluar memori terbesar di dunia sekarang.
Malah terdapat juga beberapa laporan yang mengatakan bahawa banyak syarikat-syarikat teknologi telah mula cuba untuk melakukan perkara yang sama untuk mendapatkan bekalan memori mencukupi untuk diri mereka, tetapi dengan output pengeluaran memori sekarang, ia sukar untuk menggembirakan semua orang.
ASUS juga baru-baru ini dilaporkan tidak lagi akan mengeluarkan peranti pintar dan akan memfokuskan kepada sektor yang lebih memberi fokus kepada teknologi AI untuk sektor pengguna dan juga enterprise.
Micron juga baru-baru ini mengatakan bahawa mereka akan memulakan pembangunan kilang pengeluaran memori bernilai $100 bilion di New York tetapi kilang tersebut tidak dijangka akan beroperasi sehingga 2028, jadi ia bukan sahaja pembina komputer, tetapi juga jenama elekstronik pengguna juga perlu menunggu sehingga kapasiti tambahan hadir sekiranya sektor AI masih tamak dan masih mahukan memori yang banyak untuk beberapa tahun akan datang.





