Dalam dunia seni, kejujuran terhadap karya seharusnya menjadi asas. Namun hari ini, industri filem tempatan seakan dilanda satu wabak baru. Muncul kelompok pengarah yang ego tinggi, tetapi hasil karyanya tidak mencerminkan kematangan atau mutu. Bila ditegur, tidak diendahkan. Bila ditanya, pura-pura tidak dengar. Sibuk kononnya dengan projek besar. Namun bila karyanya ditayangkan, hambar dan mengecewakan.
Ramai lupa bahawa dunia filem pernah begitu dekat dengan jiwa kepimpinan negara. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan kita, bukan sahaja tokoh politik yang hebat, malah pencinta seni yang mengangkat filem sebagai alat penyatuan dan pendidikan bangsa. Beliau menulis dan menerbit dua buah filem, Mahsuri dan Raja Bersiong, hasil keyakinannya terhadap kekuatan naratif dalam membina jati diri negara.
Namun kini, apabila anak muda bertanya atau cuba belajar, mereka dipandang sinis. Bila penggiat baru memberikan pandangan, mereka dianggap ancaman. Bila muncul kritikan, pertahanannya melampau. Kata mereka, “ini budak baru nak up,” seolah-olah pengalaman sahaja menjadi lesen untuk menutup ruang wacana.

Lebih mengecewakan apabila kejayaan yang diraih bukan berpunca daripada kekuatan karya, tetapi daripada jaringan kenalan, akses geran atau sokongan politik.
Kebergantungan kepada kabel telah menenggelamkan nilai sebenar kreativiti. Filem-filem yang dihasilkan gagal menyentuh emosi, gagal mengangkat isu masyarakat, malah gagal meninggalkan impak jangka panjang.
Apabila diberi teguran yang membina, ramai yang cepat melatah. Mereka lebih suka hidup dalam pujian sesama sendiri, dalam gelembung selesa yang mematikan kemajuan. Sikap menolak kritikan ini adalah racun kepada perkembangan seni. Karya yang baik lahir daripada keberanian mendengar, bukan keangkuhan menolak pandangan.
Perlu diingat, filem bukan sekadar hasil seorang pengarah. Ia adalah ekosistem yang merangkumi penulis skrip, pelakon, jurukamera, penyunting dan penonton. Apabila hanya satu kelompok menguasai ruang, suara lain akan disenyapkan. Bila ini berlaku, jangan hairan jika penonton mula hilang minat kepada filem tempatan.

Kita wajar belajar daripada industri luar bukan untuk meniru secara membuta tuli, tetapi untuk mengambil iktibar daripada nilai kerja mereka. Ketekunan, ketelusan dan rasa tanggungjawab terhadap mutu karya adalah budaya yang harus dipelajari. Filem yang hebat tidak perlu bergantung kepada kabel. Ia berdiri atas kekuatan cerita dan keikhlasan pembikinannya.
Selagi budaya “aku betul” terus dibela, selagi itulah industri filem kita akan kekal hambar. Jangan salahkan penonton jika mereka beralih kepada filem luar. Salahnya ada dalam sistem yang membiarkan sikap ego dan tidak terbuka berleluasa.
Sudah tiba masa untuk para penggiat seni berani bermuhasabah. Yang benar harus ditegakkan, yang lemah harus diperbaiki. Dunia seni bukan tentang siapa paling lama berkecimpung, tetapi siapa yang paling jujur menghasilkan karya.
MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.