PETALING JAYA: Indian Motorcycle Malaysia menyasarkan jumlah jualan sebanyak 40 buah untuk model terbaharunya, Scout 2025.
Pengurus Jenamanya, Lai Wai Keat berkata, buat masa ini, lima buah Scout 2025 berjaya dimiliki oleh pembeli terawal.
“Kita sasar jualan 30 hingga 40 buah Scout 2025. Untuk tahun ini saja kita sasar jual 20 buah.
“Berbeza dengan jenama motosikal lain, Indian Motorcycle tidak menghasilkan pengeluaran secara besar-besaran, sebaliknya mengikut jumlah tempahan.
“Jadi, pembeli kena tunggu giliran siap kira-kira enam bulan. Paling lewat pun lapan hingga sembilan bulan baru dapat motosikal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau ditemui dalam majlis pelancaran lima model terbaharu Indian Motorcycle, Scout 2025 sekali gus memperlihatkan komitmen jenama tersebut untuk menampilkan inovasi terkini kepada peminat motosikal kruiser di negara ini.
Dengan mengekalkan gaya serta asid deoksiribonukleik (DNA) reka bentuk Scout yang asli, model baharu ini dijelmakan semula dengan lima variasi pakej personaliti berbeza iaitu 101 Scout, Scout Classic, Super Scout, Scout Bobber dan Sport Scout.
Gabungan warisan serta inovasi Scout baharu ini menghidupkan semula legenda Indian Motorcycle untuk generasi masa kini.
Harga-harga yang ditawarkan adalah dari RM103,900 hingga RM139,600.
Scout 2025 didatangkan dengan enjin baharu Speed Plus V-Twin 60 darjah dengan penyejukan cecair berkapasiti 1,250 cc yang dibina untuk prestasi dan ketahanan.
Enjin ini menghasilkan 105 kuasa kuda (hp) serta daya kilas 108 Newton meter (Nm) pada 6,300 putaran perminit (rpm).
Model varian tertinggi 101 Scout pula dilengkapi versi enjin direka semula dengan kuasa 111 hp dan menghasilkan daya kilas 111 Nm bersama transmisi enam kelajuan yang memberikan tunggangan lancar, seimbang dan bertenaga.
Selain pengenalan casis dan enjin yang lebih berkuasa, pengalaman kendalian serta tunggangan turut ditingkatkan dengan kehadiran ciri keselamatan dan keselesaan moden.
Antaranya sistem brek antikelincir (ABS), lampu diod pemancar cahaya (LED), tiga mod tunggangan serta kawalan cengkaman iaitu Sport, Standard dan Rain serta sistem penghidup tanpa kunci dan skrin paparan hablur cecair (LCD) 4-inci yang dilengkapi teknologi Ride Command. -UTUSAN