Implan Otak Kini Boleh Membaca Buah Fikiran
Effi Saharudin
Implan otak menjadi antaramuka antara otak dan komputer. Beberapa syarikat terkemuka seperti Facebook dan Neuralink membangunkan implan ini bagi membolehkan masa depan peranti dikawal dengan hanya berfikir. Kini sebuah sistem antaramuka otak-komputer(BCI) buat pertama kalinya berjaya membaca buah fikiran dengan ketepatan 74%.

BCI ini telah dibangunkan oleh Stanford University dengan ia dipasang pada bahagian korteks motor otak yang mengawal percakapan. Empat peserta ujian adalah individu dengan lumpuh serius disebabkan oleh penyakit ALS dan strok pangkal otak. Algoritma AI telah digunakan untuk membaca isyarat yang dihasilkan oleh korteks motor peserta dengan ia dilatih untuk mengenalpasti 125,000 perkataan.
Sistem baharu ini berbeza dengan BCI lain kerana ia terus membaca buah fikiran peserta. Sistem terdahulu membaca isyarat yang dihantar otak ke bahagian mulut apabila mereka ingin bercakap atau isyarat ke tangan apabila ingin menulis. Dengan sistem BCI baharu ini, secara teorinya fikiran insan yang lumpuh menyeluruh ataupun koma boleh dibaca.
Bagi mengelakkan semua yang difikirkan dibaca oleh algoritma, peserta diberikan kata laluan untuk mengaktifkan BCI sebelum ia mula membaca fikiran. Penyelidik ini akan meningkatkan lagi kajian bagi meningkatkan ketepatan membaca fikiran.
Kertas kajian telah diterbitkan dalam jurnal Cell.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.