BUKIT MERTAJAM : Helah ejen yang menyalahgunakan permit sektor pembersihan dan buruh binaan bagi menempatkan pekerja asing di kilang terbongkar menerusi satu operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah kilang di Simpang Ampat, hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu, seramai 749 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 307 orang telah dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan terdiri daripada 306 orang warga Bangladesh serta seorang warga Nepal.
“Hasil pemeriksaan mendapati, antara kesalahan yang dilakukan termasuk menyalahgunakan sektor permit, bekerja di lokasi yang tidak dibenarkan, memiliki permit tamat tempoh serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Ada antara mereka juga yang ditahan kerana memiliki permit dalam sektor pembersihan tetapi bekerja di kilang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain JIM, operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Zakaria berkata, semua yang ditahan akan dibawa ke pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Jawi, dekat sini.
Sementara itu, seorang warga Bangladesh yang sempat ditemubual memaklumkan bahawa dia tiba di Malaysia pada 2023 melalui seorang ejen dengan bayaran sekitar RM20,000 atau kira-kira 300,000 Taka.
Katanya, dia sedar permit miliknya adalah untuk sektor pembersihan, namun, dia tetap bekerja di kilang selepas dimaklumkan oleh ejen bahawa kerja kilang termasuk dalam skop kerja pembersihan.
“Saya tahu permit itu untuk kerja ‘cleaner’, tapi, ejen kata kerja kilang pun dikira kerja ‘cleaner’ juga,” katanya ringkas.-UTUSAN