THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam memutuskan Israel melanggar tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa apabila menyekat bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza sejak dua tahun lalu.
Dalam keputusan yang diumumkan di The Hague, ICJ menyatakan Israel wajib membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan dan tidak boleh menghalang operasi agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA), yang kini dilarang beroperasi di Gaza sejak Januari lalu.
Mahkamah turut menolak dakwaan rejim tersebut mengenai UNRWA tidak bersifat neutral mengikut Konvensyen Geneva, dengan menyatakan agensi itu merupakan tulang belakang kepada segala usaha kemanusiaan di Gaza dan oleh itu, Israel diperintah untuk bekerjasama dengan UNRWA secara beritikad baik.
Israel bagaimanapun menolak keputusan ICJ itu menerusi kenyataan di laman sosial X, di mana Kementerian Luar negara itu berkata: “Israel menolak sepenuhnya keputusan mahkamah dan menegaskan bahawa negara ini sentiasa mematuhi tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa.”
Keputusan mahkamah itu merupakan pendapat nasihat yang diminta oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember tahun lalu, susulan tindakan Parlimen Israel yang pada Oktober menamatkan semua kerjasama dengan UNRWA atas tuduhan agensi itu telah disusupi oleh Hamas meskipun ianya tidak dapat dibuktikan, menurut Presiden ICJ, Yuji Iwasawa.
Dalam dapatan paling keras, ICJ menyatakan Israel sebagai kuasa pendudukan dilarang menggunakan kebuluran sebagai senjata perang, dengan merujuk kepada tindakan rejim tersebut yang menyekat sepenuhnya bantuan PBB ke Gaza antara 2 Mac hingga 18 Mei lalu.
Mahkamah juga menolak dakwaan penubuhan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) oleh Israel sebagai pengganti kepada UNRWA adalah mencukupi, dan menegaskan agensi itu tidak boleh menggantikan tanggungjawab sebenar Israel terhadap rakyat Palestin.
Menurut ICJ, lebih 2,100 rakyat Palestin terbunuh berhampiran pusat pengagihan bantuan dan keadaan kemanusiaan terus merosot sehingga pakar antarabangsa mengisytiharkan wujudnya kebuluran di beberapa kawasan Gaza pada Ogos lalu.
Mahkamah turut menyatakan pemindahan besar-besaran atau pengusiran penduduk di wilayah diduduki adalah dilarang oleh Konvensyen Geneva, dan Israel tidak berhak menyekat bantuan atau memaksa ratusan ribu penduduk berpindah ke kawasan padat penduduk.
Dua undang-undang yang diluluskan Knesset pada Oktober lalu bagi menamatkan kerjasama dengan UNRWA juga disifatkan tidak sah kerana ia menghalang agensi tersebut melaksanakan mandatnya.
Israel turut diperintah menghormati kekebalan dan keistimewaan semua entiti serta premis PBB di wilayah Palestin, termasuk sekolah, hospital dan pusat perlindungan yang mesti dianggap sebagai kawasan tidak boleh diserang walaupun ketika perang.
Selain itu, mahkamah menegaskan rejim tersebut wajib membenarkan akses kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) terhadap tahanan Palestin yang ditahan di penjara-penjara Israel.
ICJ juga mengingatkan walaupun Israel berhak memeriksa bantuan yang dibawa masuk, pemeriksaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melambatkan atau menggagalkan penyaluran makanan dan bantuan asas kepada penduduk awam. —AGENSI






