iCAUR 03 Mula Dijual Bermula RM119K – SUV Lasak Elektrik Turut Ditawarkan Dengan Pengecasan Tanpa Had Selama Setahun
Ikhwan Nazri
Di acara Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu, Chery Auto telah mempamerkan beberapa SUV lasak elektrik dibawah jenama iCAUR yang dilihat unik dan mempunyai tarikannya yang tersendiri dicelah-celah kumpulan kereta elektrik lain yang kelihatan tipikal dan biasa. Harini mereka telah melancarkan model pertama iCAUR 03 untuk pasaran global, dan Malaysia merupakan negara pertama yang akan memulakan penjualannya.

iCAUR 03 merupakan SUV lasak elektrik yang mengetengahkan rekaan yang futuristik. Ia mempunyai lantai yang tinggi, sesuai untuk kegunaan lasak dan jalan tidak rata. Malah anda boleh melakukan aktiviti lasak seperti mengembara dalam hutan, merentas sungai, dan bermacam lagi, sehingga 10 mod pacuan tersedia untuk tujuan ini. Walaupun dibina untuk tujuan lasak, ia tetap penuh kecanggihan dengan kamera 360. darjah, paparan instrumen dan inforia berasingan, sistem swapandu tahap 2, kerusi hadapan dengan fungsi urutan dan banyak lagi.

Ia hadir dalam dua versi dengan versi permulaan adalah versi pacuan 2 roda yang mempunyai bateri sebesar 65.7 kWh memberikan jarak perjalanan sejauh 426 KM NEDC. Versi ini mempunyai pacuan motor elektrik belakang yang menghasilkan tenaga 135kW dan 220 Nm tork. Untuk versi kedua merupakan pacuan semua roda (iWD) pula ia mampu memberikan tenaga sehingga 205kW dan 385 Nm tork. Manakala baterinya berkapasiti sebesar 69.8 kWh dengan jarak perjalanan 418 KM NEDC.
Melengkapkan kesemua ciri-ciri ini adalah pengecasan AC 6.6 kW dan pengecasan pantas DC 80kW. Ia juga menyokong fungsi V2L, sesuai dengan kegunaan lasak, anda boleh berkhemah di hutan dan masih mempunyai sumber elektrik dari kereta elektrik ini.

iCAUR 03 2WD dijual pada harga bermula RM 119,800 manakala iCAUR 03 iWD dijual pada harga bermula RM 129,800. Ia turut hqdir dengan jaminan selama 7 tahun atau 150,000 KM jarak perbatuan, jaminan bateri dan jaminan pacuan elektrik selama 8 tahun atau 160,000 KM, dan jaminan penukaran bateri sekiranya tahap kesihatan bateri jatuh dibawah 70%.

Untuk 1000 pembeli terawal, pelbagai ganjaran turut disediakan berupa kupon hiburan seperti tiket wayang GSC, sukan pickleball, go-kart elektrik dan bermacam lagi. Menariknya iCAUR turut bekerjasama dengan JomCharge, dan pembeli iCAUR 03 akan menerima pengecasan tanpa had selama setahun di seluruh Malaysia menggunakan pengecas mereka, dan ia turut menyokong protol pengecasan AutoCharge, membolehkan pengguna tidak perlu melancarkan aplikasi untuk mengecas SUV lasak elektrik ini di pengecas yang menyokongnya. Untuk masa terhad juga, anda boleh mendapatkan edisi khas iCAUR 03 berwarna hitam dengan tambahan RM 20,000.


Dengan hadirnya iCAUR 03 dalam pasaran tempatan, dengan harga yang rendah ia pastinya memberikan pilihan kepada pengguna, dan Chery juga dalam proses untuk melengkapkan kilang pemasangan mereka, membolehkan model-model kerera elektrik iCAUR dipasang di Shah Alam bermula Januari 2026.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.