Seorang ibu warga Singapura merayu bantuan orang ramai untuk mencari anak lelakinya berusia tujuh tahun yang didakwa telah diculik dan dibawa ke Malaysia oleh bekas suaminya tahun lalu.
wanita berkenaan, Daylin Limonte Alvarez, menawarkan ganjaran sebanyak RM50,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh membawa kepada penemuan anaknya, Caleb Liang Wei Luqman Limonte, yang sudah lebih setahun tidak ditemuinya.
Alvarez memberitahu Malaysiakini bahawa Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman telah menggunakan sistem NUR Alert untuk mengesan Caleb pada Ogos lepas, namun pihak polis masih menghadapi kesukaran mengesan lokasi bekas suaminya, seorang rakyat Singapura bernama Luqman Liang Hsien Masoon.
“Pihak polis sedang berusaha sedaya upaya, tetapi nombor telefon, alamat e-mel, dan akaun media sosial (Luqman) semuanya sudah tidak aktif. Pihak berkuasa Malaysia amat sukar untuk mengesan apa-apa mengenainya, termasuk melalui pasportnya.
“Saya memohon bantuan orang ramai kerana saya tidak ada jalan lain. Saya perlukan lebih ramai orang tahu (tentang kehilangan Caleb). Pasti ada seseorang di luar sana yang pernah nampak dia,” katanya ketika dihubungi.
Ganjaran itu dikumpul hasil sumbangan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan Alvarez.
Wanita berkenaan yang kini bekerja sebagai pegawai pemasaran di Singapura, berkata kali terakhir dia melihat Caleb adalah pada 25 Mei tahun lalu di Singapura ketika Luqman mengambil anak mereka pada hujung minggu hasil persetujuan selepas mereka bercerai pada 2021.
Namun, sebaliknya, Luqman tidak memulangkan kanak-kanak itu seperti sepatutnya, sebaliknya membawa Caleb keluar dari Singapura ke Malaysia, menyebabkan Alvarez membuat laporan orang hilang untuk memaklumkan pihak berkuasa.

Wanita kelahiran Cuba itu mendakwa tindakan Luqman dilakukan tanpa pengetahuannya dan tanpa kebenarannya, walaupun mahkamah syariah Singapura telah menetapkan bahawa dialah penjaga pasport Caleb dan sebarang perjalanan luar negara melibatkan anak mereka perlu dimaklumkan kepadanya.
Visa tamat tempoh
Dia menambah Konsulat Singapura di Johor Bahru telah mengesahkan dengan Jabatan Imigresen Malaysia bahawa Caleb dan Luqman memasuki negara ini melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 27 Mei, dan visa mereka telah tamat tempoh pada 27 Jun.
“Polis Malaysia telah melantik seorang pegawai penyiasat bagi kes saya pada bulan April, dan saya dimaklumkan bahawa mereka telah menghantar permohonan kepada Interpol untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Luqman.
“Saya diberitahu permohonan itu masih menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa Singapura. Saya sudah cuba mendesak mereka, tetapi hanya menerima e-mel menyatakan rayuan saya telah dihantar kepada jabatan berkaitan,” katanya.
Alvarez yang diberikan hak penjagaan penuh oleh mahkamah syariah Singapura dan Johor Bahru, berkata walaupun dia tidak mendengar sebarang berita daripada Luqman mahupun Caleb sejak kali terakhir melihat mereka, dia yakin mereka masih berada di Malaysia.

Tambahan pula pihak Konsulat Singapura di Johor Bahru telah meminta dimaklumkan sekiranya Luqman cuba keluar dari Malaysia, namun setakat ini tiada sebarang notis diterima.
Alvarez turut menegaskan bahawa dia pernah memaklumkan pihak berkuasa bahawa dia percaya bekas suami dan anaknya itu tinggal di sebuah apartmen di Johor Bahru.
“Mungkin mereka sudah berpindah ke tempat lain, tetapi saya rasa tidak. Malaysia ini besar… di Johor Bahru sahaja orang boleh hilang. Johor Bahru juga murah, senang dan dekat (untuk Luqman) kerana ibu bapanya tinggal di Singapura.
“Polis Malaysia pernah cuba bercakap dengan ibu bapanya, tetapi mereka mendakwa tidak tahu apa-apa. Saya sangsi kenyataan itu kerana Luqman tidak bekerja dan sepanjang hidupnya bergantung kepada ibu bapanya, jadi saya rasa besar kemungkinan dia masih bergantung kepada mereka,” kata Alvarez.
Dia juga berkata seorang individu pernah menghubunginya dan mendakwa tenampak kanak-kanak mirip Caleb, tetapi polis gagal mendapat maklumat yang diperlukan selepas menyoal orang ramai di kawasan itu.
Namun begitu, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya, malah dia terus berharap dan berusaha mencari Caleb.
“Saya masih cuba sedaya upaya untuk mencari Caleb. Suatu hari nanti ia pasti akan berlaku, insya-Allah ada orang yang ternampak dia. Usaha saya perlu disebarkan supaya orang ramai sedar tentang situasi saya,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Luqman atau Caleb boleh menghubungi Alvarez melalui laman web yang diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kes ini atau terus menghubungi pegawai penyiasat yang mengendalikan kes ini di nombor +60 13-566 5710.