Seorang ibu yang masih bersedih atas kematian anaknya akibat dibuli di sebuah kolej vokasional tahun lalu tidak dapat menahan sebak ketika berucap pada himpunan solidariti buat Zara Qairina Mahathir di Lahad Datu malam tadi.
Himpunan itu adalah salah satu daripada tiga acara yang diadakan – selain di Sandakan dan Tawau – yang menarik kehadiran ribuan orang ramai untuk menuntut keadilan terhadap kematian Zara.
Siti Hamidah Jumari, 46, — ibu kepada Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul yang meninggal dunia akibat dibuli pada Mac tahun lalu — berkata dia amat memahami apa yang dirasai ibu Zara, Noraidah Lamat.
“Saya tak tahu nak kata apa, tapi apa yang ibu Zara rasa, saya pun rasa,” katanya sambil mengalirkan air mata.
“Kita hantar anak ke sekolah dengan harapan untuk masa depan mereka.
“Tapi bila kita lihat dia terbaring kaku di lantai, tubuhnya sudah keras… sebagai seorang ibu, saya tak dapat gambarkan,” ujarnya.
Mohamad Nazmie, 17 meninggal dunia di Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam, pada 21 Mac dan 7.38 pagi, 22 Mac 2024.

Seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh pelajar itu.
Berdasarkan laporan bedah siasat, punca kematian disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul dengan 107 kecederaan termasuk 102 lebam dan lima kesan calar.
Siti berkata, dalam kes kematian anaknya, pembuli berjaya diberkas.
“Berbeza dengan kes Zara, sehingga kini tiada seorang pun yang dipertanggungjawabkan,” katanya yang berharap kematian Zara mendapat keadilan.
Zara ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya. Dia meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Kes ini mendapat perhatian seluruh negara dan membangkitkan kembimbangan orang ramai terhadap kes buli dan keselamatan pelajar di sekolah.

Polis telah mengambil keterangan kira-kira 60 saksi termasuk pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah terbabit.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, menafikan dakwaan penglibatan tokoh berpengaruh, namun tidak menolak kemungkinan kematian Zara ada kaitan insiden buli.
Beberapa tokoh politik Sabah, termasuk dari Istana Negeri, menafikan kaitan dengan individu yang didakwa membuli Zara sebelum kematiannya.
Noraidah telah membuat dua laporan polis bagi memohon inkues diadakan dan kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan serta siasatan yang lebih menyeluruh.






