Malaysia Oversight

Ibu mahu kubur Zara digali semula untuk bedah siasat

By MkiniBM in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
Ibu mahu kubur Zara digali semula untuk bedah siasat


Ibu Zara Qairina Mahathir mengarahkan dua peguam untuk menguruskan proses bagi membolehkan kubur anaknya itu digali semula untuk proses bedah siasat.

“Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala berhubung punca sebenar kematian anak saya, Zara Qairina Mahathir, 13, sejak 14 hari lalu bernoktah.

“Jadi, demi mendapat jawapan itu dan keadilan untuknya, saya mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anak digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya,” kata Noraidah Lamat, 45 seperti dilapor Berita Harian.

Gesaan itu dibuat selepas dua minggu kematian Zara yang juga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar.

Zara dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah itu dan kematiannya turut dikaitkan dengan kes buli.

Noraidah berkata, pengebumian jenazah anaknya pada malam hari yang sama kematiannya pada 17 Julai lalu dilakukan tanpa proses bedah siasat.

Menurutnya, tiada pihak mencadangkan kepadanya untuk berbuat demikian.

d3695742c373719dd0b96ae7abf48f12

Sementara itu, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah hari ini memaklumkan bahawa dia juga telah membangkitkan isu bedah siasat tersebut kepada peguam keluarga mangsa.

Ketua Portfolio Pendidikan PN itu berkata, dia telah menasihati para peguam untuk memastikan bedah siasat dijalankan sekiranya ia belum dilakukan.

“Saya dimaklumkan bahawa perkara ini sedang dalam proses,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin turut meluahkan kebimbangan terhadap usaha membentuk naratif berkaitan isu kesihatan mental atau masalah keluarga, yang kemudiannya membawa kepada kesimpulan bahawa kejadian itu adalah kes bunuh diri.

“Naratif sebegini boleh menjejaskan peluang untuk kes ini diselesaikan secara adil dan telus,” tegasnya.

Pada Rabu lalu, Saifuddin turut membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, dengan mengajukan persoalan mengenai punca sebenar kematian pelajar berkenaan serta meminta penjelasan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes tersebut.

Dia juga meminta penjelasan Kementerian Pendidikan berkaitan dakwaan bahawa pengetua sekolah Zara mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang “VVIP”.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini berkata kementeriannya memberi keutamaan terhadap kes ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara adil dan telus bagi memastikan keadilan ditegakkan.



Source link