Ibu kepada kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia memperoleh perintah interim terhadap Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, bagi menghalangnya dan kementeriannya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai siasatan kematian Syamsul Haris Shamsudin.
Peguam, Naran Singh, yang mewakili ibu Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, perintah tersebut diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abdul Majid, pada pengurusan kes pagi ini.
“Pengurusan kes hari ini adalah berhubung permohonan kami bagi perintah larangan terhadap responden (Khaled), yang telah difailkan pada 9 September.
“Penasihat undang-undang Kementerian Pertahanan hadir bagi pihak responden hari ini, dan dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan memberikan surat aku janji yang mengesahkan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai siasatan yang sedang berjalan.
“Hakim kemudian memberikan perintah interim yang berkuat kuasa hari ini sehingga 26 September, iaitu tarikh pengurusan kes seterusnya,” katanya.
Dia menambah, sekiranya Kementerian Pertahanan menyediakan surat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, maka peguam Ummu akan menarik balik permohonan perintah larangan itu.
Naran turut berkata bahawa pada asalnya, permohonan perintah larangan itu dipohon susulan kenyataan-kenyataan terdahulu yang dikeluarkan Khaled mengenai kematian Syamsul.

Syamsul, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai lalu. Dia mengikuti latihan Rotu (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) sebelum kematiannya.
Namun, Ummu mengesyaki wujud unsur khianat dalam kematian anaknya selepas melalui pengalaman yang amat merisaukan di hospital sebelum jenazahnya dibawa ke Semenyih untuk dikebumikan. Antara pengalamannya termasuk melihat kesan lebam pada tubuh anaknya dan mata yang berdarah, yang mendorongnya membuat laporan polis di Kajang.
Pada 1 Ogos lalu, Timbalan Ketua Polis Johor, Abdul Latiff Mehat, berkata bahawa polis sedang menyiasat kematian Syamsul, tetapi pada keesokan harinya, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata tiada unsur jenayah ditemui dalam kes itu.
Namun, pada 2 Ogos, Khaled mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Pertahanan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat kematian Syamsul.
Ummu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos, untuk membolehkan jenazah Syamsul digali semula, dilakukan bedah siasat kedua, serta satu inkues diadakan berhubung kematiannya.
Pesuruhjaya Kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan permohonan Ummu pada 26 Ogos bagi penggalian semula jenazah Syamsul dan pelaksanaan bedah siasat kedua.
Jenazah Syamsul digali semula pada 29 Ogos, dan bedah siasat dilakukan pada keesokan harinya.
Pada 30 Ogos, Naran berkata bedah siasat kedua menemui kecederaan trauma yang dianggap mencurigakan dan memerlukan siasatan lanjut. Dia juga berkata rakaman audio serta transkrip daripada saksi berpotensi yang berada di lokasi kematian Syamsul, bersama dengan gambar-gambar yang diambil Ummu sebelum bedah siasat pertama, telah diserahkan kepada pihak berkuasa.