Malaysia Oversight

Ibu heret KKM, hospital ke mahkamah

By MkiniBM in November 4, 2025 – Reading time 4 minute
Ibu heret KKM, hospital ke mahkamah


Ibu kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia Syamsul Haris Shamsudin telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa pihak lain berhubung dakwaan penangguhan laporan rasmi dan hasil bedah siasat berhubung kematian anaknya.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Ummu Haiman Bee Daulatgun memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Oktober lalu dan menamakan enam responden, dengan salah satunya adalah Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Lima lagi responden adalah pengarah Hospital Sultan Ismail dan Hospital Kota Tinggi, dua pegawai perubatan dan seorang pakar forensik di Hospital Sultan Ismail.

Dalam afidavitnya, Ummu Haiman memperincikan yang Hospital Sultan Ismail, di mana bedah siasat pertama dibuat pada 29 Julai lalu, telah memberitahunya yang dia perlu membayar RM1,000 dan mengemukakan beberapa dokumen untuk mendapatkan laporan tersebut.

Selepas perkara itu dimaklumkan kepada Ummu Haiman menerusi sepucuk surat bertarikh 3 September, wanita itu menyerahkan dokumen yang diminta serta cek bernilai RM1,000 pada 11 September.

Bagaimanapun dia kemudian dimaklumkan pada saat akhir yang laporan itu tidak boleh didedahkan kepadanya kerana perlu mendapat kebenaran daripada polis atau Pejabat Peguam Negara (AGC), memandangkan perkara itu masih dalam siasatan polis.

b2e51caed2b3489e4b103be70190665f
Ummu Haiman Bee Daulatgun

“Namun begitu, saya percaya dan mempunyai maklumat bahawa pihak polis tidak mempunyai sebarang bantahan untuk saya diberikan satu salinan laporan bedah siasat anak saya.

“Saya percaya bahawa sebagai ibu kandung anak saya, saya mempunyai hak untuk mendapatkan laporan bedah siasat tersebut untuk saya mengetahui punca sebenar kematian anak saya dan dapatan laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail, Johor,” katanya.

Dalam satu lagi dugaan yang dihadapi wanita itu, Hospital Sultan Ismail kemudian mengarahkannya untuk mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan laporan tersebut kepada Hospital Kota Tinggi, di mana Syamsul meninggal dunia pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan Palapes.

Walaupun menyerahkan dokumen serupa seperti yang diminta oleh Hospital Sultan Ismail, Ummu Haiman diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM200 kepada Hospital Kota Tinggi pada 16 Oktober.

“Namun begitu, sehingga tarikh afidavit ini (29 Oktober), saya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak Hospital Kota Tinggi berkaitan permohonan saya.

“Peguam saya telah cuba berhubung dengan pengarah Hospital Kota Tinggi namun malangnya dia tidak membalas panggilan telefon peguam saya,” dakwanya lagi.

Katanya lagi, peguamnya kemudian dimaklumkan oleh pegawai rekod hospital itu yang pengarah telah mengarahkan agar laporan tersebut tidak diserahkan kepadanya, atas dasar kes itu masih dalam siasatan polis.

Justeru, Ummu Haiman memohon perintah mahkamah agar pengarah Hospital Sultan Ismail dan/atau Hospital Kota Tinggi untuk memberikan salinan laporan bedah siasat pertama anaknya, serta nota keterangan dari Bahagian Kecemasan dan Kemalangan Hospital Kota Tinggi.

‘Tiada pilihan’

Ketika dihubungi, peguam kepada Ummu Haiman, Naran Singh berkata anak guamnya tiada pilihan selain mengambil tindakan undang-undang ke atas KKM dan hospital terlibat, memandangkan usaha untuk mendapatkan laporan bedah siasat telah gagal.

002d0fa6e8e15b3845e585d187b7ceea
Naran Singh

“Kita sudah hantar banyak surat dan kemukakan dokumen yang diperlukan, namun mereka masih gagal untuk memberi maklum balas kepada kami – malah mereka tidak membuat perakuan telah menerima surat kami.

“Kedua-dua hospital enggan memberikan laporan bedah siasat pertama, sebaliknya saling menuding jari antara mereka. Jadi kami tiada pilihan selain membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Ummu Haiman dilaporkan mengesyaki ada perkara yang tidak kena selepas melihat ​​jenazah anaknya ditemui dengan kesan lebam yang teruk, luka-luka yang menyerupai kecederaan akibat tembakan dan resapan darah.

Selain laporan polis, Ummu turut memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Oktober lalu bagi memohon kubur anaknya digali semula, bedah siasat kedua dibuat dan inkues terhadap kematiannya.

Pada 26 ogos, pesuruhjaya kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan permohonan Ummu Haiman untuk kubur anaknya digali semula dan bedah siasat kedua dibuat.

Pada 18 September, Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata sebarang keputusan berkenaan inkues akan dibuat selepas pihaknya menerima laporan penuh daripada polis serta rekod hospital berkenaan bedah siasat kedua, yang dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.

Selain itu, Ummu Haiman dalam afidavitnya menyifatkan dua pegawai perubatan dan pakar forensik di Hospital Sultan Ismail yang terlibat dalam bedah siasat pertama sebagai tiada kelayakan dan bidang kuasa sah untuk menjalankan dan membantu bedah siasat ke atas mayat Syamsul.

Ummu Haiman menyatakan yang peguamnya telah berulang kali cuba menghubungi Dzulkefly, pakar forensik dan pengarah Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan penjelasan mengenai siapa yang mengarahkan salah seorang pegawai perubatan untuk menjalankan bedah siasat ke atas Syamsul, namun tidak berhasil.

Pengesahan itu, katanya, diperlukan bagi menunjukkan pihak berkuasa telah khilaf dalam membenarkan pegawai perubatan melakukan bedah siasat memandangkan dia adalah “seorang yang tidak mempunyai kelayakan sah” susulan sijil pentauliahan dan keistimewaannya didakwa tamat tempoh pada 29 Mac dan tidak diperbaharui selepas itu.

[Baca berita asal]



Source link