Malaysia Oversight

Ibu, bapa terima diploma anumerta untuk arwah anak

By MkiniBM in November 18, 2025 – Reading time 2 minute
Ibu, bapa terima diploma anumerta untuk arwah anak


“Arwah sudah melunaskan tanggungjawab sebagai anak yang baik,” luah Azman Sukiman, bapa kepada pelajar Universiti Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) semasa menghadiri konvokesyen institusi pengajian tinggi berkenaan semalam.

Azman, 49, hadir bersama isterinya Azianerdawati Kasimin untuk menerima diploma bagi pihak anak mereka, Muhammad Akmal Harith yang meninggal dunia dalam kemalangan pada Ogos lalu.

Majlis berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, dekat Kuantan, Pahang.

Mereka menerima diploma anumerta daripada Unipsas yang disampaikan naib canselor IPT berkenaan, Prof Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Muhammad Akmal Harith selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta yang membuat pusingan U secara mengejut di Jalan Johor Bahru–Melaka, Peserai, dekat Batu Pahat, Johor, pada 6 Ogos.

Pelajar Diploma Pengajian dengan pengkhususan dakwah dan pengurusan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Bercerita lanjut mengenai arwah anaknya itu, Azman memaklumkan, Muhammad Akmal Harith merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang sama di Universiti Sains Malaysia (Usim).

“Sebagai anak sulung, dia memang nak sambung lagi ke (peringkat) ijazah. Patutnya bulan ini atau bulan depan dia daftar di Usim… tapi, tidak kesampaian,” katanya.

212042e980dabbc98e311e22fa131524
Azianerdawati Kasimin

Dia turut berkongsi rasa syukur dan berterima kasih kepada semua warga Unipsas yang mempermudahkan urusan anaknya, termasuk rakan-rakan yang menziarahi keluarga mereka.

“Kawan-kawan dia dari jauh dan dekat pun datang ziarah kediaman kami di Batu Pahat, rasa terkejut dengan keakraban mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Zawavi memberitahu, seramai 583 pelajar Unipsas menerima ijazah dan diploma yang disampaikan Setiausaha Pahang, Nazri Abu Bakar, pada majlis konvokesyen kali ini.

Ia termasuklah Timbalan Mufti Pahang, Badli Shah Alauddin yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pengajian Islam.

“Konvensyen ini mungkin kali terakhir kami guna nama Unipsas. Selepas ini akan dikenali universiti al-Quran, bila… (masanya itu) kena tunggu perkenan Tuanku Sultan Pahang,” katanya.

Turut menerima PhD (Kehormat) ialah tokoh ulama disegani, Maulana Juhari Mohamad Ali yang juga pengasas Maahad Tahfiz Darul Ulom Sungai Salan, dekat Jerantut.



Source link