Malaysia Oversight

Ibu bapa memang mahu anak balik mengundi, tapi…

By MkiniBM in October 25, 2025 – Reading time 3 minute
Ibu bapa memang mahu anak balik mengundi, tapi...


Di sebalik inisiatif beberapa syarikat penerbangan memperkenalkan tambang lebih rendah bagi membantu pengundi Sabah pulang mengundi hujung bulan ini, ibu bapa berpendapat langkah tersebut terlewat bagi anak-anak mereka yang belajar di luar negeri.

Hal itu kerana, mereka bukan sahaja tidak mampu menanggung kos perjalanan, malah tidak dapat meninggalkan kuliah.

Bagi ibu bapa, memang mereka mahu anak masing-masing dapat menunaikan hak dalam demokrasi apabila pada pilihan raya negeri (PRN) dilangsungkan nanti, namun kekangan jarak, kos dan jadual akademik adalah kenyataan lain yang tidak dapat dielakkan.

Bagi Rommel Osmand, seorang bapa bekerja sendiri yang mempunyai dua anak perempuan yang menuntut di universiti awam di Kuching, Sarawak, harga tiket sudah menjadi terlalu mahal.

“Mereka nak pulang, tapi tak dapat, tiket terlalu mahal. Mereka pun tak ada cuti semester. Mereka hanya balik kalau cuti panjang. Kalau tidak, mereka akan terus tinggal di sana,” katanya.

AirAsia baru-baru ini mengumumkan tambang tetap sehala sebanyak RM299 dari bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia ke Sabah selama tiga hari iaitu antara 26 hingga 28 Nov.

Langkah itu dilihat sebagai inisiatif yang disambut baik oleh kumpulan advokasi yang mendesak supaya akses perjalanan lebih murah bagi pengundi luar negeri terlibat dalam PRN Sabah.

Namun, tinjauan terhadap tambang semasa menunjukkan bahawa harga tiket pergi-balik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur kini pada harga sekitar RM700, bergantung pada laluan dan ketersediaan tempat duduk.

Tak nafikan penting mengundi

Tambang bukan promosi — yang biasanya lebih tinggi untuk perjalanan pulang — dijangka meningkat lagi apabila hujung minggu pengundian semakin hampir, apabila permintaan lazimnya melonjak.

Menambahkan lagi masalah, tempoh pengundian tidak bertepatan dengan cuti semester, menyebabkan kebanyakan pelajar terikat dengan kelas dan kuliah.

Seorang lagi bapa, Bonny Kong, 47, berkata anaknya yang menuntut di hanya akan pulang semasa sambutan Krismas pada hujung Dis nanti.

“Penat dan mahal kalau terbang balik semata-mata untuk mengundi. Tiket dari Kota Bharu ke Kota Kinabalu pun sekitar RM500 hingga RM600.

“Walaupun ada diskaun, kosnya masih besar. Mengundi memang penting, tapi kalau terlalu mahal, mungkin patut bantu bayar atau benarkan pengundian pos,” katanya.

Pandangan sama dikongsi oleh penjawat awam, Faridah Majid, 46, yang mempunyai anak perempuan menuntut di Kuala Lumpur.

“Tiada cuti semester panjang. Tambang kapal terbang pula masih mahal dan dia pun tak dapat cuti. Memang penting untuk mengundi, tapi kadang-kadang pertimbangan lain lebih diutamakan,” katanya.

Situasi sama dihadapi oleh juruteknik industri minyak dan gas, Johan Iskandar, 45, yang berdepan dilema sama dengan situasi anak lelakinya di Pulau Pinang.

“Tiket pergi-balik hampir menyamai perbelanjaan bulanan sesetengah pelajar. Kalau tak ada subsidi perjalanan atau pengundian pos, ia memang tidak realistik,” katanya.

Desakan NGO pada SPR

Dianggarkan kira-kira 200,000 rakyat Sabah kini berada di Semenanjung Malaysia, dan ribuan lagi berada di Sarawak.

Walaupun negeri kadang-kadang menawarkan subsidi perjalanan sempena musim perayaan, bantuan itu bersifat umum dan tidak berkaitan dengan pilihan raya.

Parti politik pula mengelak daripada menaja penerbangan, kerana pengangkutan pengundi secara terpilih boleh dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Undang-undang tersebut melarang pemberian faedah material bagi mempengaruhi pengundi, yang bermaksud hanya program berskala negeri atau neutral — seperti subsidi tambang sempena perayaan — dibenarkan.

Dalam PRN terdahulu, NGO dan kumpulan belia pernah mengumpul dana kecil bagi membantu pelajar pulang mengundi apabila harga tiket melonjak.

Terdahulu kumpulan masyarakat sivil termasuk Bersih dan Undi Sabah menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperluas pengundian pos bagi merangkumi rakyat Sabah yang belajar atau bekerja di Semenanjung Malaysia.

Mereka berhujah bahawa ratusan ribu orang berdepan kekangan perjalanan dan akademik yang menghalang mereka daripada pulang mengundi.

Pada masa ini, hanya rakyat Malaysia di luar negara dan anggota keselamatan layak mengundi melalui pos.

Mereka yang berdaftar di Sabah mesti pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi secara fizikal, kerana pengundian pos dalam negara masih belum dilaksanakan.

Sabah akan mengadakan PRN pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 15 Nov.



Source link