Malaysia Oversight

Ibu bapa fobia hantar anak ke sekolah berasrama

By MkiniBM in August 6, 2025 – Reading time 2 minute
Ibu bapa fobia hantar anak ke sekolah berasrama


Dengan kes kanak-kanak yang dilapor dicederakan dan dalam beberapa kes terbunuh, terutamanya di sekolah berasrama penuh, Bung Moktar Radin (-Kinabatangan) memberi amaran tentang buli.

Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 di Parlimen, ketua Sabah itu menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas dan mendakwa ramai ibu bapa “fobia” menghantar anak mereka ke institusi tersebut.

“Kes buli di sekolah, berleluasa, lebih-lebih lagi sekolah berasrama, sama ada sekolah agama, vokasional, atau kebangsaan.

“Apa masalah ini?Mereka datang untuk dapat ilmu pengajaran, tetapi di sekolah anak mereka dibunuh, anak mereka dibuat macam, ini tidak betul,” katanya di Dewan Rakyat.

Bung berkata, kekerapan kes buli yang membimbangkan di sekolah berasrama menyebabkan ramai ibu bapa di Sabah enggan menghantar anak mereka ke institusi tersebut.

“Banyak ibu bapa sudah fobia, tidak mahu hantar anak-anak ke sekolah berasrama ini, mereka kata hantar anak kami (cuma) untuk dibunuh,” katanya.

Kenyataan Bung itu dibuat susulan timbul spekulasi buli dalam kematian Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar sekolah berasrama penuh di Papar, Sabah.

Semalam, Jabatan Peguam Negara mengumumkan bahawa ia sedang meneliti laporan siasatan awal penuh daripada polis mengenai kematian Zara.

Peguam yang mewakili ibu pelajar itu awal hari ini menggariskan empat tuntutan, mengadu bahawa siasatan polis mempunyai “kelemahan yang serius”.

Peguam juga menuntut penggalian mayatnya untuk mengenal pasti punca kematian, dan inkues untuk menentukan sama ada unsur jenayah terlibat.

Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu pada 11 pagi pada 17 Julai lalu.

Dia dibawa ke hospital untuk rawatan selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan bahawa kementerian memberi keutamaan kepada kes itu sambil menjanjikan siasatan yang adil dan telus.



Source link