Malaysia Oversight

‘Ibu bapa diminta sokong pelaksanaan dua agenda utama pendidikan negara’

By Utusan in November 9, 2025 – Reading time 2 minute
'Ibu bapa diminta sokong pelaksanaan dua agenda utama pendidikan negara'


NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua pihak khususnya ibu bapa supaya memberi sokongan dalam menjayakan dua agenda utama pendidikan negara iaitu Pelan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kedua-dua inisiatif itu menjadi antara tonggak utama dalam usaha kementerian untuk memperkukuh ekosistem pendidikan nasional, selaras dengan matlamat melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing pada masa depan.

“KPM kini sedang mengusahakan dua agenda utama ini yang akan dimulakan di peringkat prasekolah pada tahun 2026 dan usaha ini sebenarnya memberi kesan langsung terhadap sistem pendidikan negara serta memerlukan sokongan daripada semua pihak.

“Dalam hal ini, kita juga perlu melihat bagaimana komuniti dapat bersama kementerian dalam memperkukuh pembentukan karakter dan sahsiah anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal yang turut dihadiri oleh pengetua sekolah itu, Dr S. Sivasanggar di sini, malam tadi.

Pada majlis yang sama, Fadhlina turut mengumumkan sumbangan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada SMK Methodist Nibong Tebal bagi tujuan pembangunan sekolah demi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Terdahulu, kira-kira 480 bekas pelajar dari tahun 1962 hingga 2020 menyertai program terbabit bagi mengumpul dana pembinaan bilik darjah tambahan termasuklah pelaksanaan aktiviti sekolah.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM akan melaksanakan pembentukan karakter murid secara menyeluruh mulai 2026 melalui pendekatan bersepadu yang diintegrasikan dalam subjek sedia ada.

Katanya, pelaksanaan inisiatif itu akan bermula di peringkat prasekolah sebelum diperluas kepada murid tahun satu dan seterusnya.

 





Source link