Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek menegur kerajaan Malaysia kerana dianggap “lesu” dalam menangani nasib rakyat negara ini yang dijatuhi hukuman mati di luar negara.
Peguam hak asasi itu berkata demikian ketika berucap pada forum Cross-Border Defence for Persons on Death Row in the Asia Pacific anjuran Anti-Death Penalty Asia Network (Adpan), LFL, Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) dan Universiti Monash.
Sebaliknya, peguam dari United Kingdom, Edward Fitzgerald, yang turut menjadi ahli panel memuji kerajaan Filipina kerana memperjuangkan nasib warganya yang berdepan hukuman mati di luar negara.
“Saya melihat banyak bukti dalam kes warga Filipina. Advokasi kuat oleh kerajaan Filipina terhadap rakyatnya memberi kesan besar dan telah menyelamatkan banyak nyawa.

“Pernah berlaku satu ketika mereka mengancam untuk memutuskan hubungan ekonomi sekiranya pelaksanaan hukuman mati diteruskan,” katanya.
Fitzgerald dipercayai merujuk kepada amaran yang pernah dikeluarkan oleh Presiden Filipina ketika itu, Rodrigo Duterte, pada tahun 2018 bahawa dia mungkin akan menghentikan penghantaran pekerja Filipina ke Timur Tengah susulan beberapa kes rogol dan bunuh diri yang melibatkan rakyat negara itu.
‘Paku terakhir di keranda Pannir’
Acara tersebut diadakan bersempena peringatan Hari Dunia Menentang Hukuman Mati pada 10 Oktober.
Ia berlangsung beberapa hari selepas pelaksanaan hukuman mati terhadap warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman, di Singapura pada 8 Oktober lalu atas kesalahan menyeludup dadah ke republik berkenaan.

Mengulas lanjut, Zaid mengecam kerajaan Malaysia dan menegaskan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat pada 7 Oktober — bahawa maklumat Pannir kepada polis mengenai rangkaian dadah “tidak mempunyai nilai operasi” — sebagai “paku terakhir di keranda Pannir”.
Menurutnya, sikap kerajaan yang dingin juga dapat dilihat dalam kes mendiang Nagaenthran Dharmalingam, rakyat Malaysia yang dikatakan memiliki IQ 69 — tahap yang diiktiraf sebagai kecacatan intelektual.
Peguam Filipina, Edre U Olalia, pula berkongsi pengajaran yang boleh diambil daripada kes Mary Jane Veloso dalam membina kerjasama rentas sempadan bagi mempertahankan individu yang dijatuhi hukuman mati.
Katanya, anak guamnya itu terselamat daripada hukuman mati di Indonesia hasil perhatian global, liputan media berterusan serta penglibatan besar-besaran masyarakat sivil.
“Usaha diplomatik politik kerajaan Filipina tidak muncul begitu sahaja.
“Ia digerakkan oleh tindakan massa, rayuan, bantahan pertubuhan rakyat, penglibatan gereja dan kumpulan sokongan yang berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.
Olalia menegaskan pentingnya solidariti melalui tindakan kolektif kerana kes-kes seperti itu jarang bersifat undang-undang semata-mata.
“Ia melibatkan perkaitan (isu) antara kemiskinan, gender dan migrasi paksa,” jelasnya.
Pada tahun 2010, Veloso — seorang pembantu rumah — ditahan sebaik tiba di Indonesia bersama 2.6 kilogram heroin.
Lima tahun kemudian, pada 2015, dia terselamat daripada hukuman tembak mati pada saat akhir selepas kerajaan Filipina mengemukakan rayuan rasmi.
Pada November 2024, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr mengumumkan dia telah mencapai persetujuan untuk membolehkan Veloso pulang ke tanah air dan menjalani hukuman di sana.






