Malaysia Oversight

Hukuman FIFA tidak berasaskan undang-undang sebenar

By Utusan in November 4, 2025 – Reading time 2 minute
Hukuman FIFA tidak berasaskan undang-undang sebenar


PETALING JAYA: Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menegaskan hukuman yang dijatuhkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak bersandarkan kepada peruntukan undang-undang sebenar badan induk bola sepak dunia itu.

Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, tindakan FIFA mengenakan hukuman terhadap pemain jelas bercanggah dengan Artikel 22 dalam kod peraturan tatatertib organisasi tersebut.

Menurut Tunku Mahkota Ismail, artikel berkenaan dengan jelas memperuntukkan hanya individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan. Perkara itu langsung tidak terpakai kepada pemain,” kata baginda.

Tunku Mahkota Ismail turut menyuarakan kebimbangan apabila tindakan FIFA dilihat seolah-olah tidak berpaksikan kepada prinsip keadilan dan undang-undang sukan yang sebenar.

Baginda juga berpandangan keputusan itu seolah-olah mempunyai kepentingan tertentu dan tidak mencerminkan ketulusan sebuah badan antarabangsa.

“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.

“Ia bukan semata-mata soal teknikal, tetapi menimbulkan persoalan sama ada keputusan ini dibuat dengan niat tertentu,” jelas baginda.

Baginda akan terus memberi sokongan penuh kepada perjuangan yang sedang digerakkan bagi mempertahankan hak pemain terbabit.

“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan habis-habisan demi para pemain.

“Perjuangan ini kini akan diteruskan ke CAS iaitu sebuah badan bebas,” ujarnya. – UTUSAN





Source link