Malaysia Oversight

Hujan, tukar lokasi saat akhir tak halang ribuan hadir solidariti Zara di Kuantan

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
Hujan, tukar lokasi saat akhir tak halang ribuan hadir solidariti Zara di Kuantan


Walaupun terpaksa bertukar lokasi pada saat akhir, himpunan solidariti ‘Justice For Zara’ anjuran Pertubuhan Kebajikan Prihatin Semambu di padang awam Cenderawasih, dekat Kuantan, Pahang, malam tadi berjaya mengumpulkan kira-kira 5,000 orang.

Himpunan itu pada asalnya dirancang untuk dibuat di Dataran Serambi Teruntum, namun Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menolak permohonan itu.

Bagaimanapun, tidak ada alasan diberikan MBK dalam surat berkenaan.

Hujan lewat petang semalam di sekitar Kuantan tidak menghalang orang ramai menyertai himpunan itu.

Kebanyakan peserta himpunan mula memenuhi padang yang agak becak akibat hujan sejurus selesai solat hajat di Masjid Saidina Umar Al Khatab, yang terletak bersebelahan padang awam berkenaan.

Pelbagai poster dan kain rentang dibawa peserta himpunan sambil melaungkan ‘Justice For Zara’, ‘tolak buli’ dan ‘tuntut keadilan’.

Himpunan itu bertambah hangat dengan pidato ringkas oleh beberapa individu, termasuk Pesuruhjaya Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Beserah, Andansura Rabu.

5778ad51f2d6f8b7890c37f6322813ba

Rosli dalam ucapannya berkata, himpunan menuntut keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, merentasi isu agama, bangsa dan politik.

“Allahyarham adik Zara Qairina berbangsa Melayu, tapi saya lihat yang hadir dalam banyak siri himpunan solidariti di seluruh negara adalah berbilang bangsa.

“Dia (Allahyarham Zara Qairina) orang , dan orang berbagai agama hadir dalam himpunan, adik Zara tidak menyertai mana-mana parti politik dan jelas isu ini bukan isu politik,” jelasnya.

Dia juga sempat ‘menyindir’ pihak yang menolak permohonan untuk mengadakan himpunan itu di Dataran Serambi Teruntum, dekat Tanjung Lumpur.

“Tuan-tuan tahu himpunan ini sepatutnya diadakan di Serambi Teruntum, tapi pada saat akhir kita terpaksa tukar dan buat di sini.

“Maknanya, kami juga ‘dibuli’ dalam hal ini. Tapi, tidak mengapalah… kalau kita nak buat (anjur) sekali lagi himpunan seperti ini, adakah anda semua akan hadir?” soalnya disambut sorakan hadirin.

e958ee37d429aadec1d93a672faa1cd9

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pelajar Se-Malaysia (Gamis), Mohammad Azamuddin Sahar dalam ucapannya pula menuntut supaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan kerana disifatkan gagal menangani isu buli, terutamanya membabitkan kes Allahyarham Zara Qairina.

Dia memaklumkan pihaknya akan ke pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bersama mahasiswa daripada Gamis jam 10.30 pagi ini, bagi mendesak kementerian itu menyelesaikan kes Zara Qairina dengan kadar segera.

Zara, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Jul lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia keesokannya ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 10 Ogos lalu menitahkan semua masjid dan surau di seluruh Pahang melaksanakan solat hajat khas bagi memohon segala urusan berkaitan proses keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina dipermudahkan serta kebenaran dapat ditegakkan.



Source link