Malaysia Oversight

Hujan tak halang orang ramai hadir

By MkiniBM in August 9, 2025 – Reading time 1 minute
Hujan tak halang orang ramai hadir


Hujan lebat tidak menghalang orang ramai hadir ke Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Kampung Mesapol di Sipitang hari ini, bagi menyaksikan proses gali semula kubur pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati mereka tidak dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan itu difahamkan bagi memastikan proses gali semula berjalan lancar.

Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat tiba di tanah perkuburan pada 4.56 petang.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM akan menggali semula kubur Zara Qairina secepat mungkin untuk melengkapkan proses siasatan kes kematian pelajar itu susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

AGC mengeluarkan arahan itu bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan, selepas mendapati terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Bernama



Source link