Malaysia Oversight

Hujan lebat selepas pembenihan awan, paras air tasik meningkat

By Utusan in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
Hujan lebat selepas pembenihan awan, paras air tasik meningkat


IPOH: Paras air di Tasik Bukit Merah di Bagan Serai yang surut berikutan musim panas mencatat peningkat susulan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) semalam menyebabkan hujan di kawasan tasik tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, hasil OPA sekitar pukul 12 tengah hari hingga 2 petang semalam, beberapa kawasan tadahan di tasik tersebut menerima taburan hujan.

Menurutnya, kadar aliran air yang masuk ke empangan di Stesen Pondok Tanjung di tasik itu juga menunjukkan peningkatan ketara bermula pukul 3 petang semalam.

“Sehingga pukul 8 pagi tadi, bacaan paras air empangan mencatatkan peningkatan daripada 19.80 kaki kepada 20.00 kaki. Kapasiti simpanan empangan turut meningkat daripada 6.65 juta meter padu (12.2 peratus) kepada 7.25 juta meter padu (13.31 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun, status semasa empangan masih berada di tahap Aras Henti Bekalan Pengairan seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Beliau berkata, peningkatan simpanan kolam empangan ini sedikit sebanyak membantu memanjangkan tempoh bekalan air bagi keperluan domestik, namun bekalan air bagi tujuan pengairan ke Rancangan Pengairan Kerian masih belum dapat dimulakan semula.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak akan terus memantau rapi perkembangan paras air empangan dan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan bekalan air sentiasa berada pada tahap selamat,” katanya.

Mohamad Nizar berkata, OPA dilakukan semalam lanjutan daripada Monson Barat Daya yang melanda beberapa kawasan di sekitar Malaysia.

Beliau berkata, OPA semalam diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Katanya, pelaksanaan OPA ini bertujuan untuk membantu meningkatkan semula paras air Empangan Bukit Merah yang mengalami penyusutan akibat musim kering berpanjangan.

“Kawasan yang teruk terjejas adalah di kawasan Empangan Bukit Merah di Bagan Serai akibat kemarau susulan kekurangan hujan di kawasan tadahannya sejak beberapa bulan yang lalu.

“Hasil daripada penilaian JPS Negeri Perak sepanjang fenomena ini terjadi, Kolam Tadahan Empangan Bukit Merah telah mencapai aras henti bekalan pengairan pada 20.00 kaki sejak 22 Julai yang lalu dan mengikut SOP pengendalian empangan, bekalan air ke sawah padi akan dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah,” katanya. – UTUSAN





Source link