Huawei Nova 15 Ultra Diperlihatkan Dengan Rekaan Baharu
Amy Maizuraa
Pernahkah anda mendengar ungkapan ‘hampir sama tetapi tidak’? Melihat kepada rekaan Huawei Nova 15 Ultra, ia mengingatkan kita kepada bonggol besar yang digunakan pada iPhone 17 Pro.

Walaupun kelihatan serupa, HUAWEI melakukan perubahan dengan meletakkan kemasan dua bonggol di bahagian belakang. Satu bulatan digunakan untuk menempatkan sensor kamera, dengan tiga sensor kelihatan tanpa sebarang butiran lanjut mengenai konfigurasinya.
Satu lagi bulatan dengan lingkaran hitam masih belum dapat dipastikan kegunaannya, sama ada sekadar hiasan atau mempunyai fungsi tertentu yang mungkin akan diketahui dalam beberapa minggu akan datang. Apa yang pasti, ia turut menempatkan LED Flash bersama penjenamaan XD Portrait padanya.

Bahagian belakang peranti diberikan nafas baharu dengan kemasan bergaris khususnya untuk warna hijau dan ungu. Dalam masa yang sama, terdapat juga pilihan minimalis dengan kemasan serba hitam.
Tubuh peranti kelihatan rata di bahagian belakang dengan sisi yang membulat manakala skrin hadapan belum diperlihatkan tetapi dipercayai turut menggunakan rekaan rata. Penjenamaan Huawei Nova jelas kelihatan pada bahagian tengah belakang peranti.

Siri ini dijangka hadir dalam beberapa variasi lain termasuk model Pro sebagaimana generasi sebelumnya. Boleh dikatakan, rekaan kali ini lebih segar dan berbeza.
Tiada maklumat lanjut mengenai cip pemproses mahupun perkakasan lain setakat ini, namun kemas kini rasmi daripada Huawei tentunya diumumkan tidak lama lagi. Pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung pada 22 Disember 2025 di China.





