Malaysia Oversight

Hospital Parit Buntar bakal manfaatkan 73,000 penduduk

By Utusan in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Hospital Parit Buntar bakal manfaatkan 73,000 penduduk


BAGAN SERAI: Hospital Parit Buntar bernilai RM173.3 juta yang mula dibangunkan pada 2018 kini siap sepenuhnya dan bakal memberi manfaat kepada lebih 73,000 penduduk di daerah ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, hospital baharu itu dilengkapi enam blok bangunan setinggi tiga tingkat dengan kapasiti 76 katil, dua dewan bedah serta pelbagai perkhidmatan pakar termasuk perubatan, pediatrik, ortopedik serta obstetrik dan ginekologi.

Beliau berkata, meskipun berdepan cabaran termasuk keadaan tanah sawah yang memerlukan kerja awalan intensif serta penangguhan akibat pandemik Covid-19, projek berkenaan berjaya disiapkan hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor.

Namun yang lebih penting, jelasnya, Kementerian Kesihatan turut mempunyai perancangan jangka panjang memperluaskan fasiliti hospital itu pada masa hadapan.

“Hospital Parit Buntar ini dibina di atas kawasan seluas 13 hektar, dengan sebahagian besar tanah masih belum dimanfaatkan. Melihat kepada pertambahan penduduk dan keperluan kesihatan yang semakin meningkat, kita sudah tentu mempertimbangkan untuk membangunkan blok klinikal tambahan.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan beban dan kesesakan di hospital sekitar termasuk Hospital Taiping,” katanya selepas Majlis Penyerahan Hospital Parit Buntar di Bagan Serai di sini hari ini.

Menurutnya, selain daripada aspek rawatan, kementerian turut memberi penekanan kepada usaha pencegahan penyakit melalui pelaksanaan program saringan awal dan kempen kesihatan selaras dengan hala tuju Kertas Putih Kesihatan.

Dalam pada itu, Lukanisman menjelaskan kelewatan beberapa projek kesihatan di negara ini berpunca daripada faktor teknikal termasuk isu tanah, kapasiti kontraktor serta kenaikan kos bahan mentah.

Tambahnya, kementerian bersama JKR kini memantau rapat semua projek yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.

“Hospital Parit Buntar ini adalah contoh bahawa dengan kerjasama rapat antara kementerian, JKR dan kontraktor, projek boleh disiapkan walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” katanya. – UTUSAN

 





Source link